Ini merupakan kunjungan saya yang ke sepuluh ke Jepun semenjak 1992. Galerie Vivant milik sahabat lama, Kazuko Ogata yang saya kenali sejak awal 90an lagi. Ketika saya belajar di Tokyo, saya menyewa studio di kediamannya yang berhampiran dengan Muzium Seni Cetak di Machida.

Saya tiba di Tokyo seawal jam 7.50 pagi. Saya terus berangkat ke Ginza untuk mula bekerja dan cuaca pula agak membantu kerana sekarang awal musim panas di Negara Matahari terbit tersebut. Setibanya di galeri, Puan Ogata memberitahu saya bahawa pihaknya akan membantu dan saya boleh terus bertolak ke Fukuoka pada sebelah petangnya. Seperti yang dirancang, saya berangkat ke Fukuoka dari Stesen Tokyo  dan perjalanan Sinkansen akan mengambil masa lebih kurang enam jam. Pada petang itu, saya terlalu penat dan hampir tidak dapat menikmati pemandangan sepanjang perjalanan. Saya tiba di Stesen Hakata,  Fukuoka pada jam 8.45 malam dengan penuh semangat. Yoshesuke Funasaka, guru saya yang sudah berusia 70 tahun menyambut ketibaan saya dengan rakaman kameranya. Sahabat saya, Encik Shigeharu Kawakami pula yang sudah berumur 80 tahun menanti dengan senyuman. Mereka berdua seperti orang tua saya, bila berada di Jepun. Banyak perkara akan mereka uruskan untuk saya disini. Isteri saya sering tertawa apabila mendapat tahu Encik Kawakami yang sudah berusia 80 tahun akan menguruskan hostel untuk saya yang berusia 50 tahun, semasa di Fukuoka!

Dalam usia yang lanjut serta kepenatan mereka berdua tetap melayan saya dengan baik dan membawa saya makan disebuah restoran dan seterusnya berjalan menuju ke hotel penginapan saya. Setibanya di hotel, Encik Kawakami menyuruh saya berehat kerana besoknya adalah perasmian pameran Yoshisuke Funasaka dan Katsu Murakami di Fukuoka Asian Art Museum. Hampir jam 12 malam, mereka berdua berangkat pulang ke hotel masing-masing. Ini merupakan kunjungan saya untuk kali yang ke sembilan ke Bandar Fukuoka dan besoknya, sesuatu yang indah dalam kunjungan ke bandaraya tersebut – saya akan mempunyai  teman-teman yang sedia menunggu dan perlu saya temui.

 

Pelukis diapit oleh Shigeharu Kawakami disebelah kiri dan Yoshisuke Funasaka
disebelah kanan semasa di Fukuoka Asian Art Museum

 

Tengaharinya saya menuju ke Fukuoka Asian Art Museum. Disana Encik Kawakami dan teman lama saya, Teruyo Utsumi sudah kepenatan menunggu. Saya minta maaf kerana terlambat bangun mungkin kerana kepenatan dan kesukaran untuk melelapkan sejak bertolak dari Kuala Lumpur.

Rasa bersalah saya terubat apabila Utsumi tersenyum dan memberitahu saya bahawa besoknya beliau akan membawa saya ke Ishibashi Museum of Art di Kurume. Saya mengangguk sahaja dan sudah agak faham sikap dedikasinya dan tanggungjawabnya sebagai sukarelawan muzium di Fukuoka. Sebagai surirumah, dia banyak meluangkan masanya untuk membantu pelawat-pelawat yang berkunjung ke Fukuoka. Sepanjang 15 tahun beliau tidak pernah jemu untuk menulis surat kepada saya walaupun saya jarang membalasnya. Namun, dengan jujur, katanya, dia tidak mengharap balasan daripada saya.

 

Teruyo Utsumi di Ishibashi Art Museum, Kurume

 

Pada petang 12 Jun 2010, saya menghadiri perasmian pameran Yoshisuke Funasaka dan Katsu Murakami. Murakami merupakan salah seorang pelukis yang menyertai pameran Off Wall Off Pedestal di Akal Diulu pada 2001. Beliau merupakan pelukis sepenuh masa yang begitu cekal berkarya. Ramai teman-teman lama saya berada disana, Kazuo Tateoka dan Shirai Hiroko sama seperti 20 tahun dahulu, mereka tidak berubah. Saya memberitahu Shirai Hiroko bahawa bila sampai di Fukuoka saya selalu teringat mendiang Sukeo Akiyoshi, seorang tua yang begitu banyak berjasa kepada saya.

Sebelah malamnya saya dijemput makan malam di sebuah restoran oleh Prof. Norita Udagama bersama Shirai Hiroko, Kazuo Tateoka dan seorang teman lagi, Prof. Yoko Matsunaga. Hampir jam sebelas malam barulah saya dihantar pulang ke hotel oleh Prof. Norito Udagawa yang akan berangkat ke Tokyo pada 18 Jun untuk menghadiri pameran Nakazato Hitoshi, sahabat lamanya yang bermastautin di Amerika.

“Datanglah ke Muzium Seni Cetak Machida, saya mahu memperkenalkan anda pada Nakazato Hitoshi. Saya mengucapkan terima kasih dan mengucapkan selamat malam” ujar lelaki tersebut dengan penuh sopan dan semangat kesetiakawanan sebelum meninggalkan saya.

Esoknya, jam 9.30 pagi, Teruyo Utsumi sudah sedia menunggu saya di lobi hotel. Katanya hari itu  beliau mahu membawa saya melawat Muzium Ishibashi di Kurume. Ishibashi Museum of Art dihadiahkan oleh Shojiro Ishibashi, pengasas Bridgestone Cooperation kepada Bandar Kurume. Utsumi merupakan seorang sukarelawan yang cukup berdedikasi pernah saya temui. Dalam hidup yang serba sederhana beliau tidak lokek berbelanja membawa teman-teman pelawat sambil memperkenalkan Bandaraya Fukuoka.

Lebih kurang jam 3 petang, saya dibawa menaiki bas untuk bertemu teman lama saya, Maki Miyanari yang galerinya beroperasi di kawasan kediaman mewah di Fukuoka. Beliau begitu gembira menyambut kami. Sebelum pulang Utoumi membawa saya mencari restoran soba, makanan kegemaran saya. Kemudian beliau meminta diri untuk pulang ke rumah sambil memberikan saya sekaki payung lalu sambil berkata “sekarang musim hujan, anda akan perlukannya di Tokyo.”

 

Taman di Ishibashi Art Museum Kurume, Fukuoka

 

Taman di Ishibashi Art Museum Kurume, Fukuoka

 

Taman di Ishibashi Art Museum Kurume, Fukuoka

 

Katsu Murakami disebelah kiri dan Yoshisuke Funasaka disebelah kanan
semasa pameran berdua Fukuoka di Asian Art Museum

 

Pada pagi 14 Jun, saya berjalan menuju ke stesyen keretapi Hakata Fukuoka untuk menaiki Sinkansen ke Tokyo. Cuaca agak cerah dan saya berharap untuk dapat menikmati pemandangan sawah ladang sepanjang perjalanan enam jam berikutnya. Tetapi sebaliknya, saya tertidur keletihan sepanjang perjalanan. Saya tiba di Gelerie Vivant, Ginza lebih kurang jam 3 petang. Tidak lama kemudian dua orang teman lama saya Sanae Oka dan Tomoko Baba muncul menyambut saya. Sanae Oka bekerja bersama – sama saya di studio Machida. Mereka berdua nampak matang dan menawan tetapi tetap bekerja dengan cekal dan bersemangat.

 

Sanae Oka, Ginza, Tokyo.

 

Keesokan harinya (15 Jun), saya ke Kyoto, berjumpa dengan seorang teman dari Finland yang sudah menetap di Jepun hampir 20 tahun. Saya berkenalan dengan Tuula Moilanen semasa saya menghadiri Impact  Confrence 2009 di Bristol. Setibanya saya di stesyen keretapi Kyoto, hujan sudah mula turun, sesuai dengan musim hujan di Jepun. Namun,  hujannya tidaklah selebat dan berlarutan  seperti di Malaysia. Bagi orang Melayu,hujan di Jepun dipanggil ‘hujan halau mertua’. Saya seterusnya menaiki bas untuk berkunjung kerumah Tuula. Mujurlah saya dibekalkan pelan lokasi yang dihantar melalui email sehari sebelum saya kesana. Dengan berbekalkan payung Teruyo Utsumi saya mencari rumahnya dalam hujan renyai-renyai.

 

Tuula Moilanen bersama karyanya.

 

Pelukis Finland tersebut tinggal disebuah rumah yang agak besar di pinggir hutan yang berbukit. Cuaca mendung dan hujan menambahkan lagi suasana kelam di sekitar kawasan rumahnya. Ah! Ini seperti di Akal di Ulu. Kehijauan hutan mengingatkan saya pada kebun dan pohon-pohon rending dan menghijau yang mengelilingi rumah saya di Malaysia. Saya terasa begitu damai disini. Tuula menyambut saya dengan penuh rasa bangga. Dia menghidangkan minuman sambil bercerita, lantas menjemput saya untuk melawat studio tempatnya bekerja. Melihat keadaan studio, perkakas dan peralatannya, saya dapat rasakan beliau seorang pelukis yang dedikasi dan tekun serta sudah menjadikan budaya Jepun sebagai sebahagian daripada hidupnya. Katanya, sekarang dia sering berulang-alik ke Helsinki kerana bapanya sudah tua dan uzur. Dia bercerita lagi tentang penyelidikan dan penulisan buku serta Konferensi Mokuhanga di Kyoto pada tahun 2011.

Saya memberitahunya kalau keadaan mengizinkan saya akan datang ke Kyoto tahun depan. Setelah kami makan di sebuah restoran, beliau menghantar saya  hingga menaiki bas, sambil berpesan supaya melawatnya lagi di Kyoto atau Helsinki. Saya seperti meninggalkan seorang sahabat lama di Kyoto, walhal Tuula hanyalah seorang kenalan baru saya. Ah! Mungkin adakalanya persahabatan tidak boleh diukur dengan waktu!

Pada 17 Jun pukul 1 tengahari, saya ada temujanji bersama Yoshikatsu Tamekane di Galerie Vivant. Saya tergesa-gesa kerana takut terlewat dan saya tiba sepuluh minit sebelum jam satu. Wah! Tamekane sudah sedia menunggu saya disana. Kami berdua berjabat tangan sambil ketawa besar.

 

Shibuya, Tokyo.

 

”Hah! Kita bertemu di Paris pada 1993, semasa saya tidak berduit!”, ujar saya sambil tertawa. Saya juga begitu, balasnya dan kami ketawa lagi dalam suasana yang penuh keakraban. Pada masa itu, kebetulan Tamekane mahu pulang bercuti ke Tokyo dan beliau mempelawa saya untuk tinggal dirumah sewanya di Rue de Seine yang terletak begitu hampir dengan The Lourve. Ketika itu saya berada di Paris atas geran lawatan sambil belajar oleh kerajaan Perancis. Kami berdua sebaya dan sekarang beliau sudah berumahtangga serta punya seorang anak.

Saya diberitahu bahawa sekarang Tamekane adalah ketua editor untuk Journal Japan Print Association. Jadi beliau ingin tahu bagaimana dia boleh membantu Penang Print 2010. “Wah, anda sudah menjadi orang penting di Tokyo sekarang”, ujar saya yang mula mengusiknya. Anda juga begitu,balasnya.

 

Meiji Shrine

 

”Kamu berdua sudah punya tugas dan tanggungjawab yang besar sekarang”, celah Puan Kazuko Ogata yang kebetulan berada bersama kami.Kami bertiga bersama-sama ketawa. Keesokannya kami berjanji untuk bersama-sama menghadiri perasmian pameran seni cetak Nakazato Hitoshi di Machida.

“Saya akan kenalkan anda dengan guru saya Nakazato Hitoshi esok, dia seorang lelaki yang baik,’’ katanya sebelum melangkah meninggalkan saya. Itu cerita perkenalan saya dengan Yoshikatsu Tamekana 17 tahun lalu di Paris. Sememangnya, adakala perkenalan boleh memberi manfaat yang bersifat sejagat tetapi kadang-kadang perkenalan itu hanya satu watak dan titik-titik kecil dalam kamus  kehidupan kita yang begitu malas untuk kita mengingatinya apalagi untuk menulis tentangnya.

 

Poskad untuk Rumi dari Harajuku, Tokyo

 

Poskad untuk Umi, Zuyyin, dan Sa’ee dari Kurume, Fukuoka

 

Poskad untuk Tudrik dari Harajuku, Tokyo