28 September 2012 – Bandung, Indonesia

Sebenarnya saya begitu sibuk dalam dua minggu ini, terlalu banyak urusan rasmi sejak dilantik sebagai resident artist di Universiti Malaya. Jemputan pameran pula semakin meliar dan sudah terpaksa memilih. Ini kerana faktor usia, komitmen lain dan aku sudah boleh memilih!

Kelmarin saya sudah ke kedutaan Jepun untuk memohon visa ke Tokyo bagi mewakili negara untuk TOKYO PRINT 2012 di Metropolitan Museum. Entah bagaimana saya sudah lupa bahawa saya perlu ke Bandung pada 27 September, walhal pasport saya sudah diserahkan kelmarin kepada kedutaan Jepun. Hah! Nasib baik canselor kedutaan sudi meminjamkan passport tersebut pada pagi itu.

Lalu saya pun berangkat ke Bandung selepas zohor untuk menghadiri perasmian Kembara Jiwa di Selasar Sunaryo. Ketika berada diruang udara Bandung, cuaca agak jelek kata orang sini. Langit diselimuti oleh awan gelap dan tebal dan pesawat berlegar-legar untuk mendarat. Ini mengingatkan satu pengalaman ngeri semasa berada di ruang udara Filipina ketika ribut taufan suatu masa dulu. Kami mendarat dengan selamat tapi agak lewat, tidak seperti yang dijadualkan. Seperti biasa 80% penumpang yang turun di Bandung adalah orang Malaysia. Memang ramai orang Malaysia ke Bandung, kerana orang Bandung peramah, bandarayanya agak teratur dan nyaman.

Apabila saya keluar dari imigresen Bandung, Heyi sudah sedia menunggu saya bersama suaminya, Mamun.Cuma kali ini Mamun tampil dengan tongkat. Mereka sahabat yang sudah saya kenali hampir 20 tahun sejak saya mula-mula berkunjung ke Bandung! ‘Gigi sudah kurang, kaki pula yang bertambah’ (merujuk kepada tongkatnya) ‘Sooner or later will be your turn’ kata Mamun kepada saya. Kami bertiga ketawa dengan penuh akrab. Saya dipandu pulang ke rumah Heyi, tempat saya selalu menginap bila ke Bandung. Jam 7.30 malam, selepas solat Maghrib, Setiawan Sabana datang berjumpa saya untuk berbincang tentang pameran Jagat Kertas di Universiti Malaya pada Februari 2013.

Jumaat pagi 28 September 2012, saya harus menunaikan kewajipan berjumpa ‘kepala suku’ iaitu Bapak Pirous. ‘Berdosa’ rasanya kalau ke Bandung tidak berjumpa dia. Saya tiba dirumahnya dengan membawa roti canai, makanan kegemaran beliau. Bapak Pirous sihat diusia 81 tahun. Setelah itu kami berangkat ke Selasar Sunaryo untuk makan tengah hari. Disana kami bertembung dengan rombongan Kembara Jiwa dari Malaysia. Ketika kami menjamu selera tiba-tiba Bapak Sunaryo pula muncul. Beliau sentiasa tenang dan tersenyumlalu menuju kearah kami. Dia suka bercerita dengan penuh santai, dan bermakna tetapi menyegarkan. Ini mungkin kerana kerjayanya, dimana beliau sering bertemu dengan ramai orang yang bermacam ragam.

Pada sebelah malam, pameran Kembara Jiwa dirasmikan oleh Dr. Setiawan Sabana dalam cuaca malam yang agak dingin, tapi ia dipanaskan oleh pengalaman-pengalaman yang sukar untuk dilupakan oleh tetamu-tetamu yang hadir.

 

kembara_JIWA (12)Dari kiri, Ibu Erna, Heyi, Pak Pirous dan Pelukis

kembara_JIWA (13)Pak Pirous, Ibu Erna dan Heyi bersama delegasi Kembara Jiwa

kembara_JIWA (2)Puan Nur Hanim Khairuddin sebagai kurator pameran memberi ucapan pengenalan

kembara_JIWA (4)Dr. Setiawan Sabana memberi ucapan perasmian Pameran Kembara Jiwa.

kembara_JIWA (1)Tetamu

kembara_JIWA (3)Delegasi pelukis Malaysia diperkenalkan kepada tetamu

kembara_JIWA (8)Panel Diskusi.

kembara_JIWA (7)Pelukis, Jai dan Nazli

kembara_JIWA (5)Pelukis dan Nazli

kembara_JIWA (6)Pelukis, Jai dan Pak Pirous