Sebenarnya tanpa saya sedari,  saya sudah mengenali Pak Pirous selama 21 tahun! Bukan apa, perkenalan dengannya begitu memanfaatkan, mendidik serta lucu sekali, sehingga tanpa disedari masa berlalu lebih dua dekad. Saya pertama kali bersua dengannya semasa pameran 5th Asian International Art Exhibition di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada 1991.

Kemudian, saya bertemunya lagi di Bandung apabila saya menyertai pameran muhibah di Dacenta Gallery dan Braga Gallery dalam tahun yang sama. Pameran ini diusahakan oleh pelukis Sharifah Fatimah Zubir dan Pak Pirous. Dari sini, saya mula mengenali Bandung dan beberapa orang senimannya dengan lebih dekat. Saya berjumpa Umi Dachlan, Heyi Mamun, Erna, Sunaryo, Setiawan Sabana dan ramai lagi, terutama yang pernah mendapat pendidikan di Institut Teknologi Bandung (ITB). Ternyata mereka begitu ramah dan akrab bersama tetamu.

Tahun berikutnya saya ke Bandung, sekali lagi menyertai pameran 7th Asian International Art Exhibitionyang diadakan di Gedung Merdeka, Jalan Asia Afrika dimana delegasi Malaysia diketuai oleh pelukis Choong Kam Kaw. Ternyata saya begitu selesa di Bandung, dan setiap kali ke sana saya akan bertemu dan berkunjung ke rumah Pak Pirous. Ramai di antara kami menggelarnya sebagai kepala suku. Dia akan tertawa gembira, tetapi di matanya tetap terpancar ketegasan seorang seniman dan seorang guru.

Pada 1993, saya ke Fukuoka City Art Museum bersama delegasi Malaysia untuk menyertai 8th Asian International Art Exhibition . Di sana saya bertemu Pak Pirous yang datang sebagai ketua delegasi Indonesia. Selepas Fukuoka, tidak lama kemudian saya ke Manila pula untuk mewakili Malaysia di 2nd Asean Workshop, Symposium & Exhibition of Esthetics . Di situ, saya turut bertemu Pak Pirous, Rita Widodo, Anusapati dan Heyi Mamun.

Ketika saya begitu rancak mengembara di Eropah dan Jepun pada tahun 90-an, saya sering menulis surat kepadanya, bertanya khabar. Saya begitu ingin mengenali seniman besar ini walaupun saya begitu kecil jika dibandingkan dengan umurnya, pendidikan, penglibatan serta jasa-jasanya dalam dunia seni tampak. Latar belakang keluarga dan sebagai pendidik membentuk peribadinya begitu. Dia begitu mengasihi dan meraikan pelukis – pelukis muda seperti saya ketika itu.

Semasa menghadiri Seminar Nasional, A.D Pirous dan Manfaat Seni di Indonesia pada 20 Mac, 2012 di Institut Teknologi Bandung yang baru lepas, saya bertembung dengan beliau di sana. Lalu dia datang ke arah saya dan berkata, Juhari, you must come for dinner at my house and don’t run away , saya sambut dengan senyuman. Beliau sentiasa sihat, bertenaga dan gembira untuk meraikan usia emas yang ‘mahal’,  ‘penting’, ‘dikagumi’, ‘direbut’, disanjung dan disayangi.

Alhamdullilah.

Juhari Said

Akal di Ulu

8 Jun 2012

 

Surat-surat dari Pak Pirous