Karya mural bertajuk Malayan Agriculture oleh Pelukis Batik Negara Datuk Chuah Thean Teng merupakan sebuah khazanah di Universiti Malaya. Lazimnya sifat sebuah khazanah semestilah amat tinggi nilainya. Cuma kadang kadang nasibnya seolah-olah seperti takdir yang menimpa seorang manusia berjasa. Kalau nasibnya baik, ia dihargai dan disanjungi, tapi adakalanya dia langsung tidak dipeduli lalu dibiar reput menyembah bumi dan nasib mural tersebut hampir-hampir begitu. Mujurlah kita masih ada golongan yang punya hati dan jiwa di Universiti Malaya sehingga karya yang penting dan bersejarah itu terpelihara hingga ke hari ini.

Mungkin ramai diantara kita yang tidak mengetahui bahawa suatu masa dahulu sebelum Universiti Pertanian ditubuhkan di Serdang pada 1973, sebuah Fakulti Pertanian telah pun diwujudkan di Universiti Malaya pada 1960. Penubuhan fakulti ini bukan sahaja akan melatih pakar pertanian yang boleh mendokong sektor pertanian negara, malahan berupaya membantu pengusaha persendirian dan pekebun kecil. Maka tidak hairanlah siswa-siswanya bukan sahaja boleh berteori dan bercucuk tanam malahan mereka boleh memandu lori dan traktor di lapang pertanian!

Sebelum kedatangan siswa-siswa pertama yang bakal dilatih difakulti tersebut, pihak Universiti Malaya telah bertindak begitu positif dan artistik. Satu pertandingan melukis mural telah dianjurkan oleh pihak pengurusan bagi meraikan dan memperingati penubuhan Fakulti Pertanian di Universiti Malaya. Ini merupakan satu langkah yang agak luar biasa, kerana selalunya upacara peringatan yang berkait dengan pertanian akan ditanda dan diingati dengan cara menanam pokok. Tetapi disini ia berbeza, menanam pokok telah diganti dengan kerja-kerja melukis mural. Keistimewaannya pula mural itu datang dari tangan seorang pelukis yang bernama Chuah Thean Teng. Cubalah bayangkan jika upacara itu diraikan dengan menanam sepohon pokok sebagai tanda, nescaya pohon itu sudah tiada lagi sekarang kerana ia sudah di tebang sebelum sempat berusia 54 tahun dengan alasan ‘merbahayakan’ orang ramai lagi pun bukankah Fakulti Pertanian itu sudah tidak wujud lagi?

Ketika Chuah Thean Teng memenangi pertandingan melukis mural tersebut beliau berusia 48 tahun. Dia lahir di Negeri China pada 1912 dan datang berhijrah ke Pulau Pinang ketika berusia 14 tahun. Bapanya menghantar beliau ke Amoy Art School tetapi dia tidak sempat menamatkan pengajiannya dalam bidang lukisan berus Cina akibat diserang penyakit demam kepialu. Lalu dia pulang ke Pulau Pinang semula ketika berusia 18 tahun untuk membantu bapanya berniaga barang- barang kraf seperti payung dan sebagainya. Zaman beliau melukis diselubungi oleh kepayahan dan kesusahan hidup akibat peperangan dan situasi politik yang tidak menentu. Untuk menambah kehidupan beliau pernah mengajar di Johor dan Kedah. Usahanya untuk mendirikan kilang batik di Air Itam pula tidak dapat diteruskan oleh sebab-sebab tertentu. Dari sini dia mengambil keputusan untuk menjadi pelukis batik sepenuh masa. Ternyata bakat kesenian yang diwarisi dari ibunya membuat aktiviti seni beliau terus hidup berkembang mekar seperti lukisan –lukisannya walaupun suasana sosio-politik menekan kehidupan hariannya ketika itu. Chuah Thean Teng merupakan seperti kebanyakkan keluarga imigran-imigran yang berkelana jauh dari tanah tumpah kelahirannya. Sememangnya pelukis-pelukis imigran sebegini sudah pasti diasuh dan dibesarkan dengan inti budaya warisannya. Jika beliau dihantar ke Amoy Art School untuk belajar lukisan berus Cina maka ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Tetapi yang paling menarik ialah apabila beliau tetap pulang semula ke Pulau Pinang setelah kesihatannya terganggu semasa menuntut di Amoy Art School . Apakah beliau terasa rindu dan sudah menganggap Pulau Pinang itu sudah menjadi kampung halamannya yang baru? Diperhatikan juga bahawa kebanyakkan karya-karyanya semakin hari berlegar-legar dengan tema dan figura-figura tempatan yang seolah-seolah sudah begitu sebati dalam kehidupannya. Apa lagi dengan keberanian beliau menjadikan medium batik itu sebagai bahantara idea yang ingin diteroka dan disampaikan dimana sebelum itu batik hanyalah berupa seni gunaan pada pakaian.

Dalam kebanyakkan karya-karya beliau, figura-figura wanita sedang bekerja dan berkeluarga amat banyak sekali diutarakan. Tetapi, berlainan pula dengan karya yang menjadi khazanah di Universiti Malaya. Beliau agak kurang bersentimen. Aktiviti pertanian itu kelihatan dikongsi bersama oleh kaum lelaki dan wanita. Mungkin pengalaman bekerja sebagai guru meletakkan dirinya diatas paksi pendidikan walaupun sebagai seorang seniman ia sering dibuai oleh khayalan yang berlandaskan peribadi.

Hakikatnya keputusan Universiti Malaya menjadikan karya Malayan Agriculture sebagai ikon Fakulti Pertanian 54 tahun lalu bukan saja merupakan satu keputusan bijak, malahan bersejarah dan amat berpandangan jauh. Buktinya biar pun Fakulti Pertanian itu sudah tiada lagi dan bangunan tersebut telah diambil alih oleh Pusat Asasi Sains dan Fakulti Sains, namun UMAGA yang ditubuhkan pada 1965 tetap masih hidup dan bertenaga walaupun kesemua ahlinya sudah berada dihujung usia. Setiap jasad pasti akan berkubur tetapi yang pasti roh UMAGAN tetap berkeliaran dan kehadiran mereka akan pasti dirasakan kelak. Semoga golongan yang punya hati dan jiwa di Universiti Malaya akan tetap memelihara ‘TUGU UMAGA’ kerana kita tidak dapat menafikan bahawa dalam masa yang sama kita sedang memelihara sebuah karya‘Khazanah Negara’.

Juhari Said
Akaldiulu,2014.

Di petik dari Majalah Dewan Budaya.Bil 1/2015


University Malaya Agricultural Graduates Alumni (UMAGA) telah ditubuhkan pada 1965 iaitu lima tahun setelah Fakulti Pertanian Universiti Malaya dirasmikan oleh yang berhormat W.Nash C.W, Perdana Menteri New Zealand pada 1960.Sebagai tanda rasmi penubuhan fakulti tersebut,Chuah Thean Teng,seorang pelukis batik telah dipanggil untuk melukis mural tersebut bersama-sama pelajar-pelajarnya.Dengan berakhirnya Fakulti Pertanian di Universiti Malaya pada 1979,maka mural tersebut secara tidak langsung terbiar sehinggalah pada 2009 apabila UMAGA meraikan ulangtahun mereka yang ke 50 mereka bertekad untuk memulihkan mural tersebut.

UMAGA telah mengumpul dana untuk membaikpulih mural tersebut dengan bantuan mendiang Prof.K.T Joseph.Dua tahun kemudian Naib Chanselor Universiti Malaya iaitu Prof.Tan Sri Dr. Ghouth Jasmon telah berjanji untuk berbuat sesuatu yang positif kepada mural yang bersejarah itu.Seperti yang dijanjikan mural yang dilukis oleh Datuk Chuah Thean Teng sekarang dipamerkan ditingkat lima,Galeri Seni Universiti Malaya,Bangunan Chanselori,Universiti Malaya.

Tugu_Umaga
Tajuk mural- Malayan Agriculture
Medium- Cat Mural
Ukuran- 248 X 610 sm
Tahun- 1960