Bagaimana anda mula melibatkan diri dalam bidang seni?

Pengalaman bukan semena-mena timbul. Adakalanya kemahiran itu tidak boleh diajar. Orang yang tidak pandai melukis figura, kalau dilatih dengan secukupnya, lama kelamaan akan mendapat kemahiran itu. Orang yang tidak pandai berbasikal, kalau dia tidak jemu-jemu berlatih, lambat-laun akan mahir juga. Contohnya diri kita sendiri. Ketika baru dilahirkan ke dunia, kita tidak boleh membaca atau menulis. Tetapi kita pergi ke sekolah dan akhirnya boleh menguasai kedua-dua kepandaian tersebut. Ini membuktikan kemahiran-kemahiran itu boleh ditunjuk ajar, tetapi untuk jadi artis? Bukan semua orang boleh melakukannya.

Bila anda menjadi artis anda mengembangkan serangkaian pemikiran dan paradigma anda sendiri. Anda lihat apa yang orang lain tidak nampak. Dan jika mereka nampak apa yang anda nampak, ini bermakna anda macam orang lain juga. Jadi, perkembangan-perkembangan permulaan itu berlaku awal. Umpamanya anak-anak saya, mereka sudahpun mempamerkan kecenderungan dan minat tertentu. Justeru, pembabitan (dalam bidang seni) tidak boleh sewenang-wenang dibuat-buat.

Adakah budaya dari kampung mempengaruhi praktis kesenian anda?

Sudah semestinya. Ketika di kampung, apa saja yang kita lakukan menjurus kepada keseronokan. Jadi, kita buat sesuatu kerana kita seronok melakukannya. Kita buat gasing kerana kita suka bermain gasing dan bukan sebab kita hendak menjualnya sebagai barangan. Kita buat wau kerana musim wau sudah tiba. Kita buat sesuatu kerana kita kita menyukainya. Zaman sekarang agak berbeza. Ibubapa membelikan barang permainan dan apa saja benda yang diminta anak-anak. Secara tidak langsung, konsumerisme menyekat pemikiran dan cara hidup kita.

Adakala saya berkarya tanpa sebarang imbuhan kewangan. Sewaktu pameran saya di muzium USM (Muzium & Galeri Tuanku Fauziah), walaupun tiada karya yang terjual tetapi saya tetap berulang-alik ke sana kerana saya seronok berkarya di sana. Dan sebenarnya bertitik-tolak daripada latar belakang diri saya sendiri.

Sesudah lebih 31 tahun, apa yang membuatkan anda masih setia dengan seni?

Kesenian mengajar saya berfikir dengan lebih tajam, lebih teliti dan berimaginasi secara luar biasa. Sebab itulah saya selalu rasa terdorong untuk menghasilkan karya. Dalam diri saya seperti ada seketul bara yang sentiasa meluap-luap panas, dan bila saya meniupnya ia terus menyala dan membakar.

Apakah pengalaman-pengalaman pahit dan manis anda sebagai artis?

Di antara pengalaman manis adalah bila saya mencapai impian dan cita-cita remaja saya sebelum mencecah 40 tahun – melukis, mengembara, memiliki sebuah studio, rumah dan sebuah keluarga yang membahagiakan saya.

Berkenaan pengalaman-pengalaman pahit lagi mengecewakan, terus terang saya katakan saya belajar membentuk prinsip dan sahsiah diri daripada pengalaman-pengalaman yang saya lalui sebagai seorang artis. Saya sentiasa berpesan kepada pelajar-pelajar saya bahawa apabila mereka berjaya, itu adalah atas usaha mereka sendiri, bukan kerana saya pernah menjadi guru mereka. Mereka sama sekali tidak berhutang kepada saya kerana apabila saya mengajar, saya hanya menjalankan tugas dengan ikhlas.

Dipetik Dari Buku Semangat Chandan-Journeys Of Contemporary Artists From The Land Of Grace.

Diterbitkan Oleh Three Hundred Sixty Sdn Bhd, Kuala Lumpur&Institut Darul Ridzuan,Ipoh,Perak.2011