Di Eropah dan Amerika, kesenian seni grafik begitu pesat membangun dan berkembang. Suasana dan iklimnya begitu meriah. Kesenian dan teknologi bergerak bergandingan serta serentak meredah zaman. Mungkin sedikit sebanyak tradisi School of Bauhaus yang bertapak di tahun 30-an memainkan peranan dalam industri seni grafik di Eropah dan Amerika. School of Bauhaus begitu mempelopori kaedah dimana setiap individu yang berkepakaran harus duduk semeja menggembleng tenaga dan fikiran kreatif untuk bersama-sama memajukan segalanya.

Di Paris ,William Hayter, seorang ahli kimia menubuhkan Atelier 17 pada 1927, kemudian di New York pada 1940. Di studio ini seniman boleh berkarya dan sebahagiannya belajar seni grafik. Ini agak berbeza sedikit dari Atelier La Courrier yang lebih bergerak sebagai rumah penerbitan untuk seniman-seniman besar di Eropah. Pengkaryaan seni grafik begitu aktif di Eropah ,sehingga bagi setengah golongan seniman yang menimba ilmu kesenian di Paris menganggap Atelier 17 dan Atelier La Courrier ibarat sebuah ‘universiti’ bagi mereka.

Di New York, selain dari penubuhan Atelier 17 pada 1940, Printmaking Workshop juga dibuka pada 1948. Kemudian Pratt Graphic Centre yang didukung oleh Rockefeller Foundation dibuka pada 1956 untuk golongan pelajar dan karyawan. Pada 1962, Crown Point Press yang menghasilkan karya Richard Diebenkorn pula muncul. Kenneth Tyler bersama beberapa orang temannya membuka Gemini Gel pada 1965 sebelum beliau menubuhkan Tyler Graphics Ltd pada 1974. Di Gemini GEL, karya-karya Robert Rouschenberg dan Roy Lichtenstein dihasilkan dan pada ketika ini kegiatan berkarya seni grafik pop-artamat memberansangkan di New York.

Sememangnya dekad 60-an begitu menghairahkan, mencabar dan mendebarkan deria, naluri dan jiwa. Sosio-budaya manusia itu diangkat dan dijulang untuk disaksikan ,dinilai, disanggah, dituruti atau dibiarkan saja sendirian lalu mati. Budaya alternatif menular, perang Vietnam memuncak, hak asasi kemanusiaan tersedar, pengerakan pelajar meresap dan media elektronik tumbesaran. Tiba-tiba seorang pemuda yang berusia lingkungan 20-an daripada Lenggeng berada dicelah-celah himpitan dan gelojak arus itu. Hanya dirinya seorang yang mengalami, merasai, kerana kemana saja kita berada, kita didasari dan didukung oleh latar belakang yang menjadi tulang diri. Ternyata setiap individu dibesarkan dengan cara yang cukup berbeza.

Monograf atau monotype yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin (LM) adalah satu teknik paling asas, sama seperti melukis dengan pensel atau arang diatas kertas putih. Monograf tidak ada salinan atau edisi. Ia berupa sebuah nota bergambar karyawan. Dalam karya alam kaku ini (1961) beliau begitu akur pada pendidikan serta asuhan seni lukis yang diperolehinya di Berlin.

Hal ini terbukti oleh objek-objek yang dilukis seperti pasu serta buah-buahan. Namun, walaupun objek-objek tersebut tempatan, dia tetap kerinduan, corak pucuk rebung disebelah kanan begitu samar tetapi perasaan itu amat jelas. Teknik potongan lino pula dari sudut sejarahnya, memang digunapakai ketika zaman darurat di Eropah. Ini kerana sifat dan teknik pembuatannya yang mudah alih dan boleh dibuat dimana saja. Dalam kembara seorang pengkarya yang teguh lagi tegar, potongan lino dan potongan kayu adalah dua teknik seni grafik yang cukup akrab dengan mereka.

Kedua teknik ini tidak perlu menggunakan mesin. Ia hanya perlu sebuah alat yang dipanggil baren sahaja untuk membuat kerja-kerja cetakan selain dari penggunaan pisau ukir dan roller yang paling minima. Maka tidak hairanlah warna-warna serta pengolahan komposisi karya juga agak minima.

Dalam kajian seterusnya terhadap karya seni grafik LM ada sesuatu yang paling menarik iaitu tentang dua buah karya yang bertajuk Imago i dan Imago ii.Kedua –dua potongan lino ini adalah dari siri Berlin yang dihasilkan pada 1963,iaitu ketika LM berada di Eropah.Karya ini kecil sahaja,berukuran cuma 15x 11 sm.Walaupun kecil,tetapi ia memberi pengertian yang cukup besar kepada siri Pago-Pago yang terkenal itu.

Selain dari karya seni grafik , LM juga menghasilkan siri Imago di atas kanvas dengan menggunakan cat minyak pada tahun 1963.Ada juga yang dilukis dengan arang atas kertas pada 1965.Seterusnya pada 1966 dengan menggunakan teknik lithografi dan gurisan asid semasa beliau berada di Paris.Imago disini bukanlah sebenarnya membawa pengertian serangga yang dewasa.Tetapi ia mencerminkan satu firasat tentang sebuah gerak dan perasaan terhadap sesuatu yang akan datang.Imago adalah imbas-imbasan terhadap pembentukan yang menuju kematangan dalam pengkaryaan seorang seniman.Ini adalah kerana kesenian bagi LM adalah sebuah tenaga dalaman yang dikeluarkan dan bukan berlaku sebaliknya.

Hal ini dapat dilihat dan difahami bila kita menoleh kembali kepada sebuah lukisan dakwat yang dilukis oleh LM pada 1961.Lukisan ini bertajuk Pagoda dan dilukis oleh beliau ketika berusia 20 tahun.Dalam lukisan ini amatlah jelas tentang motif-motif yang digambarkan telah mendahului karya karya yang dihasikan pada pertengahan 60an,seperti siri Pago-Pago ditahun 1965,1966,1967,1968 dan 1969.

Motif-motif stupa,lingam dan prangs atau pun pagoda sebenarnya sudah lama diterap dalam karya siri-siri kecil seperti Imago(1963-1966).Atau lebih tepat dikatakan bahawa motif-motif dalam karya Pago-Pago itu sebenarnya sudah pun terbit ketika LM diselimuti oleh sejuk salji putih Berlin sejak 1961 lagi.Hal ini adalah sebuah khayalan yang mendahului pengalaman sebenar,sebelum beliau berada di daerah pagoda-pagoda di Indochina pada1964.Hal ini adalah satu proses berfikir dimana karya-karya fiksyen dilahirkan sebelum seniman bertemu realiti yang sebenar.Bukankah seni dan kreativiti sering mendahului zamannya?(sila rujuk lukisan bertajuk Pagoda 1961,Pago-Pago Cologne,(lithografi 1963), dan Imago i dan Imago ii ( potongan lino,1963)

Cuma bila LM pulang dari Eropah pada 1964 beliau mengembara lagi,tapi kali ini ke Indochina,terutama Thailand dan Kemboja.Mungkin pengembara ini lebih kepada menyaksikan dengan ‘mata kepala’ dan bukan dengan hati dan jiwa,kerana Pago-Pago sudah lama berada dalam firasatnya walaupun salji yang dilihat itu hanyalah putih warnanya.

Dalam pengembaraan LM di New York pula,suasana begitu tegang dan rancak.Seperti yang diterangkan pada awalnya,penubuhan-penubuhan rumah penerbitan seperti cendawan tumbuh pada dekat 1960-an.Mereka di Amerika melihat seni grafik sebagai industri yang begitu serius.Tambahan pula arus pop –artpada tahun1960-an amat berkait rapat dengan objek-objek popular dan berbaur komersial.Namun LM langsung tidak tertarik kepada objek dan tema tersebut,dia lebih suka memerhati dan memahami sahaja.Dalam hatinya,kalau boleh dia mahu ‘pohon rumbia’ ditanam di Central Park! Mungkin dari sini lahirnya karya yang bertajuk Satu Awan Satu Hari(gurisan asid 1970).Karya ini jelas menunjukan respons pemerhatian beliau terhadap persekitarannya.’Terhimpit biar di atas,kalau terkurung biarlah diluar’.Jelas ini adalah kunci LM semasa beliau merantau di Eropah dan Amerika ketika itu.

Begitu juga dengan karya yang bertajuk Nocturno (gurisan asid 1969).Kalau Khairil Anwar(fragment 1946) merintih tentang kepayahan dalam puisinya yang juga bertajuk Nocturno,LM juga seakan begitu.Beliau begitu jerih dalam hutan batu di New York yang sarat dengan manusia-manusia yang berlari-lari mengejar sejarah yang dilontar jauh kehadapan mereka.Kegetiran itu juga diterjemahkan dalam karya beliau yang bertajuk interlock 3(gurisan asid 1969)Kehidupan itu dilihat berada dalam kekangan yang dicipta oleh manusia. Mereka tidak boleh lepas dan bolos,melainkan akur mengikut arus yang dicipta oleh mereka sendiri.Jika tidak,mereka akan terasa terasing serta disisihkan dan akan hidup serta aktif hanya pada malam gulita seperti Nocturno!

Pada 1974,LM bersama-sama beberapa orang teman sudah memulakan bengkel seni grafik di Anak Alam.Beliau membawa mesin getah lama yang telah diubahsuai dari Kampong Delek,Klang untuk dijadikan mesin pencetak.Ini adalah kerana mesin pencetak begitu mahal harganya.Maka LM mendapat ilham bahawa mesin getah lama atau terbuang pun boleh digunakan.Prinsipnya mudah,asalkan pengkaryaan itu dapat diteruskan.Bukankah kreativiti dan kesenian yang mencipta mesin itu dan bukan pula berlaku sebaliknya.Dari sini kegiatan seni grafik di Anak Alam bergerak cergas,bermodalkan mesin cetak’found object’yang begitu besar jasanya.Pameran kumpulan seni grafik Anak Alam berjaya diadakan pada 1974,1977 dan1979 di Kuala Lumpur.

Apabila berbicara tentang mesin cetak ‘found object’ tersebut yang mana telah begitu banyak berjasa,ia membuka pula satu ruang menarik terhadap dua karya LM yang yang bertajuk Keluarga(fotoguris 1974) dan Belat Pok(fotoguris 1974).Kedua-dua karya ini juga sebahagiannya menggunakan plat terpakai,selain dari gambar –gambar wajah manusia yang kabur dan juga gambar pukat ikan.Amat jarang sekali LM meletakan wajah-wajah manusia dalam karyanya selepas pulang dari Berlin dan kedua-dua karya ini pula di golongkan sebagai siri Post Pago-Pago.Mungkin beliau mahu berangkat jauh,atau akan memasuki satu alam asing dan baru.’Jangan putuskan tali itu,Tinggalkan

jua sehelai benang.’(muka surat 378,dari Catatan Latiff Mohidin)Tapi ini bukan untuk Jojo,kerana tajuk karya itu adalah Post Pago-Pago dan itulah benangnya.

Tetapi sebelum saya juga berangkat meninggalkan catatan tentang Pago-Pago saya sebenarnya masih lagi gagal mengesan karya senigrafik yang dimenangi oleh LM ketika menyertai pertandingan Salon Malaysia pada 1968 di Balai Senilukis Negara.Apakah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku atau kerana karya Pago-Pago itu sememangnya sebuah misteri? Cara kita memandang alam itu tidak sama,engkau pada industri,aku pada misteri(muka surat 356,catatan dari Latiff Mohidin)

Dalam siri-siri Langkawi I dan Langkawi ii,ada unsur –unsur yang juga tidak kurang menariknya pada karya yang dihasilkan pada 1977 ini.Kedua-duanya menggunakan teknik potongan lino yang hanya menggunakan dua warna iaitu hijau atas merah dan hijau diatas kuning.Melihat karya senigrafik siri Langkawi ini,ia seakan-akan kaku dan beku.Geometrik susunan komposisinya dan potongan linonya begitu teliti.Apakah LM sudah lama berangkat dan sudah tiba di alam yang baru.Berada dalam tawaduk,sebulat hati merendah diri. Hanya Tuhan saja yang maha mengetahui.

Dipetik daripada Majalah Dewan Budaya, Januari 2013


Tajuk-Imago ii Media-Potongan lino Saiz-15x11sm Tahun-1963 Koleksi peribadi
Tajuk-Imago ii

Media-Potongan lino

Saiz-15x11sm

Tahun-1963

Koleksi peribadi

Tajuk-Pagoda Media-Dakwat atas kertas Saiz-14x10sm Tahun-1961 Koleksi peribadi
Tajuk-Pagoda

Media-Dakwat atas kertas

Saiz-14x10sm

Tahun-1961

Koleksi peribadi

Tajuk-Imago i Media-Potongan lino Saiz-15x11sm Tahun-1963 Koleksi peribadi
Tajuk-Imago i

Media-Potongan lino

Saiz-15x11sm

Tahun-1963

Koleksi peribadi