“ Jika pergi ke sesuatu tempat, jangan pergi seorang diri, biarlah berteman.” Demikian pesan orang tua-tua. Ada kalanya pesanan itu amat berguna. Sekurang-kurangnya apabila kita berkawan, ada orang yang datang membantu apabila kita dalam kesusahan. Seperti kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Rupa-rupanya dalam bidang seni lukis di Malaysia, pesanan orang tua-tua tadi banyak kebenarannya. Apabila seseorang seniman menjadikan seni cetak sebagai wadah utama untuk berkarya, beliau ibarat berjalan seorang diri. Secara tidak langsung seperti menyanggah pesanan orang tua-tua tadi. Pelukis tersebut bagaikan melalui sebuah lorong kesunyian. Malah dia dipandang penuh curiga pula dan kadangkala tidak dipedulikan atau mungkin dilupakan sahaja.

Situasi “berada dalam keadaan selesa” sebenarnya bukan sahaja berlaku apabila seseorang itu duduk di atas kerusi empuk, bergaji besar, atau berpangkat besar, tetapi juga berlaku apabila kita “berkawan dan mempunyai ramai kawan”. Jika seseorang itu tidak berkawan, kewujudan dan kehadirannya ibarat tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Pernah dahulu, Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal bertanya kepada saya satu soalan yang begitu lucu semasa kami bersama-sama menghadiri sebuah pameran lukisan. Tanpa sebarang pembuka bicara, beliau bertanya, mampukah saya hidup dengan seni cetak? Sepanjang ingatan saya beliau tidak pernah berbual dengan saya, jadi apabila saya ditanya soalan sebegitu saya hanya tersenyum dan berlalu tanpa bicara. Saya yakin bahawa ‘mata’ beliau kurang jelas.

Selang beberapa tahun kemudian, Archipelago Press menerbitkan The Encylopedia of Malaysia – Craft and The Visual Art. Syed Ahmad Jamal merupakan volume editor untuk terbitan tersebut. Pada pandangan saya, ensiklopedia tersebut sebenarnya mampu berperanan sebagai rujukan utama kepada sesiapa sahaja yang ingin meneliti dan mengkaji bidang seni lukis secara luas di Malaysia. Ini adalah kerana hampir semua bidang kesenian visual dan kraf di negara ini mempunyai catatan masing-masing di dalam ensiklopedia tersebut.

Namun pada masa yang sama ensiklopedia ini begitu mendukacitakan, kerana tidak ada satu pun perkataan atau ayat yang menyentuh tentang kewujudan serta perkembangan seni cetak di negara ini. Apalagi untuk menyebut kegiatan seni cetak yang dipelopori oleh seniman seperti Lee Joo For, Latiff Mohidin, Ahmad Khalid Yusuf, Lee Kian Seng, Long Thien Shih, Chew Teng Beng, Loh Foh Sang, Ilse Noor, Ismail Latiff, Izan Tahir, Rahman Mohamed, Kim Ng, Ting Mui Chi, Jamil Mad Isa, Kelvin Chap, Suhaimi Tohid dan ramai lagi nama-nama yang tidak dapat saya nyatakan di sini.

Kisah lucu ini bukan sekali sahaja saya temui. Malahan saya pernah ditanya oleh Dr. Sulaiman Esa, “Adakah negara kita ada penggiat seni cetak?”. Walhal saya baru berjumpa dengannya semasa melawat pameran in print/print in di Balai Seni Lukis Negara beberapa hari sebelumnya. Pendapat seorang pensyarah universiti tempatan yang pernah saya temui baru-baru ini ternyata benar. Kebanyakan pelukis tahun 1960-an dan 1970-an suka bergeser dan kurang mengiktiraf bakat orang lain. Sedangkan setiap individu itu punya bakat dan perlu saling menghormati satu sama lain.

Maka tidak hairanlah apabila wujud perlakuan yang tidak beretika serta penulisan yang tidak tepat dan tidak berlandaskan fakta dalam aktiviti kesenian di Malaysia. Sikap masuk bakul angkat sendiri serta menulis tentang komentar yang jauh di sebelah lautan telah digalakkan. Dosa-dosa ini ada kalanya sudah dijadikan sumber rujukan malahan ada yang sudah menjadi National Anthem dalam penulisan sejarah seni Malaysia.

Potret Pengkritik Seni (1997) Koleksi Pakharuddin & Fatimah Sulaiman
Potret Pengkritik Seni (1997)

Koleksi Pakharuddin & Fatimah Sulaiman


Rujukan

  1. Katalog Seni Lukis Malaysia 57 – 87 , Balai Seni Lukis Negara: Kuala Lumpur, 1987.
  2. Syed Ahmad Jamal (Vol. Ed.), Encylopedia of Malaysia V14: Crafts and The Visual Art, 2007, Editions Didier Millet: Kuala Lumpur.
  3. Sila rujuk katalog pameran Komunikasi Melalui Grafik – Seni Cetak, 1993, Balai Seni Lukis Negara: Kuala Lumpur.
  4. Pameran tersebut dirasmikan pada 25 Disember 2005 di Balai Seni Lukis Negara. Sila rujuk katalog pameran ‘ In Print/Print In ’, 2005, Balai Seni Lukis Negara: Kuala Lumpur.
  5. Hal ini khususnya berkaitan dengan pandangan dan ujaran bahawa terdapat institusi tertentu telah menyekat dan menghalang perkembangan kesenian berunsur figuratif di Malaysia terhadap golongan seniman Melayu/Islam bermula pada tahun 1970-an dan 1980-an. Rujuk tulisan Adeline Ooi dan Wong Hoy Cheong dalam katalog MATAHATI, 2008, Galeri Petronas, Kuala Lumpur, mukasurat 42 – 48 dan juga tulisan June Yap, Ibid, mukasurat 12 -48. Mengikut pendapat ini, keadaan tersebut telah menyebabkan seniman muda merasa kekok dan keliru berkenaan halangan tersebut, sehingga menyebabkan kurangnya seniman muda Melayu/Islam yang mencipta kesenian berunsur figuratif. Bahkan pandangan ini sebenarnya adalah salah dan tidak berlandaskan fakta.

Juhari Said
Dipetik dari Buku Seni Cetak Di Malaysia: Realiti dan Impresi, 2009
Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia