Persepsi awal saya terhadap Juhari Said – yang saya kenal semasa persiapan Pameran Seni Cetak di Muzium Seni Asia Februari 2010, agak mengecewakan. Beliau tiada masa untuk berjumpa saya di Universiti Malaya (UM), sebaliknya menetapkan satu tarikh dan tempat lain, iaitu di beranda Balai Seni Lukis Negara untuk berbincang tentang seni cetak.

“Apa yang penting sangat kamu nak berjumpa saya,” tanya beliau pada awal pertemuan tersebut. Lalu saya nyatakan, bahawa Muzium Seni Asia UM ingin mengadakan pameran seni cetak.

“Saya cuba membawa dan memperkenalkan seni cetak kepada khalayak UM,” jelas saya dalam nada merendah diri.

“Eh, semasa saya masih menuntut di ITM dulu, saya selalu ke muzium tu (Muzium Seni Asia), banyak aktiviti berkaitan seni dibuat ketika itu, ketika arwah Syed Ahmad Jamal berada di sana,” tambah beliau.

“Sekarang kamu yang menguruskan muzium tu?” Saya mengangguk dan mengiakan soalan beliau itu.
Saya jelaskan kepada beliau bahawa kali pertama saya membaca karya-karya beliau adalah dari beberapa buku dan katalog. Dalam fikiran saya, imej yang terbentuk ialah “kain batik dan secangkir kopi”, iaitu siri seni cetak beliau yang terawal. Diikuti dengan siri binatang yang disebut-sebut dalam peribahasa Melayu. Peribahasa tersebut menceritakan keindahan subjek melalui kata-kata, tetapi Juhari menafsirkannya melalui visual. Itulah kelebihan Juhari.

Selepas itu, perbualan kami bertambah rancak. Persepsi awal terhadap beliau yang “bermuka ketat” dan menyoal seperti seorang anggota polis, hilang. Sebaliknya, saya mulai memahami; beliau bercakap atas dasar fakta, mempunyai nilai humor yang eksplisit, berorientasi produk dan kesempurnaan karya lebih diutamakan. Dipendekkan cerita, pameran yang dirancang akhirnya menjadi. Saya menjemput beliau mempamerkan karya dan memberikan ceramah tentang seni.

Tidak berapa lama selepas itu, saya mendapat tugasan yang lebih mencabar, iaitu apabila Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, meminta saya mewujudkan sebuah galeri dan melantik residen artis untuk merancakkan lagi kegiatan seni di kampus UM. Setelah Soh Boon Kiong dilantik, saya mencadangkan nama Juhari Said bersama-sama Yusuf Gajah dan Maamor Jantan. Universiti tidak menolak calon-calon yang saya kemukakan itu.

Rakan dan Rakan Sekerja

Ada orang yang mudah kita berkawan, namun begitu tidak mudah apabila bekerja bersama-sama. Juhari merupakan rakan dan rakan sekerja yang amat menyelesakan. Saya jarang-jarang berjumpa dengan beliau, jarang-jarang juga ke studio. Sebaliknya, kami berjumpa apabila ada keperluan dan bahan untuk diperbincangkan.

“Kesombongan dan keegoan” ini bukan sengaja dibuat, sebaliknya saya sentiasa kembali kepada keperluan dan ruang bekerja beliau yang tidak boleh dipengaruhi.

Memandangkan selama ini beliau bercerita tentang nama-nama artis besar, saya secara sengaja menguji beliau – “Boleh anda bawa saya dan Tan Sri Naib Canselor berjumpa salah seorang artis ternama, yang benar-benar berpengaruh di Malaysia”. Beliau dengan cepat menjawab, “Boleh, saya boleh jumpakan kamu dan Tan Sri dengan Latiff Mohidin”.

Pada masa itu, beliau belum dilantik secara rasmi sebagai residen artis, namun kesediaan dan persediaan beliau untuk menemukan saya dan Tan Sri Naib Canselor dengan Pak Latiff amat memberikan kesan kepada saya.

Sejak tahun 2011, perkenalan dan persahabatan saya dengan artis semakin bertambah. Juhari mengenali artis dan dapat menceritakan perjalanan seni artis yang beliau kenal secara terperinci. Beliaulah yang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Pak Sani Mat Dom, menziarah studio beliau di Klang, melawat studio Awang Damit Ahmad di Sejangkang, melawat studio Sharifah Fatimah Zubir, studio Dr. Choong Kam Kow, berjumpa dengan Zulkifli Yusoff, dan bertemu dengan Prof Dr. Zakaria Ali di Tanjung Malim.

Haiwan dan Lingkungan Juhari

Pada suatu hari, saya mendapat panggilan telefon daripada Juhari Said yang menyatakan bapa mertua beliau meninggal dunia. Saya mengambil keputusan untuk menziarah beliau. Ziarah itu sebenarnya bersamaan dengan kunjungan ke studio beliau di hujung kampung. Sesuai benarlah dengan identiti dan moto beliau, iaitu Akal di Ulu. Kehidupan beliau benar-benar dikelilingi binatang peliharaan. Itik dan anjing merupakan antara binatang yang dominan.

Maka sebab itulah, karya-karya beliau yang sampai di Galeri Seni, daripada beberapa pameran dan katalog, menunjukkan keakraban beliau dengan binatang. Binatang menjadi simbol dan personafikasi lembut dan keras dalam karya beliau. Siri “beruk” yang menyindir secara langsung perangai manusia yang bermuka-muka adalah yang terbaik dalam pemerhatian saya. Idea itu amat segar, tiada sesiapa yang akan tersinggung tetapi mesej daripada karya ini amat tajam. Imej yang dibuat juga tidak berwajah buruk, sebaliknya benar-benar mesra pelanggan.

Karya beliau tentang beberapa muncung anjing yang mendongak ke langit – secara harfiah, anjing-anjing yang sedang menyalak, tidak pernah beliau bincangkan dengan saya. Namun begitu, saya percaya ada mesej tertentu tentang persepsi manusia Melayu terhadap anjing yang ingin ditampilkan.

Tinggalan Juhari di lobi Canseleri Universiti Malaya berupa lapan keping potongan kayu hampir 10 kaki tingginya, yang membawa imej ayam, bakal menjadi tinggalan yang signafikan dalam sejarah seni negara ini. Bagi Juhari, kebebasan berkarya – walaupun menyalahi aturan biasa, bukan penghalang untuk menghasilkan karya yang utama. Mengikut kaedah seni cetak, imej ayam atau jago yang dibuat sepatutnya dipaparkan di atas kertas atau kanvas sahaja. Sebaliknya karya ini dipaparkan dalam bentuk blok. Yang menariknya, blok ini benar-benar memberikan kelainanan dan kesan seni yang lain.

juharisaid_yg_sy_kenali
Karya bertajuk Laga yang terpamer di Lobi Canseleri, Universiti Malaya.

ABD AZIZ RASHID

21 Oktober 2013, Muzium Seni Asia

Universiti Malaya, Kuala Lumpur