Garis lengkung

Mencakar langit mendung

Kan ku lepaskan naga

Bertakhta di atasnya

Dipetik dari puisi Latiff Mohidin,
Garis lengkung, 1967.

Sejak dulu, Setiawan Sabana sudah memelihara seekor naga besar, panjang serta kuat dan bertenaga. Kadang-kadang ia melingkar dan melilit sambil bersahaja. Menjalar lalu menghembus nafas berupa api atau bahang panas dari sebuah singgahsana ‘lengkung’ yang tersembunyi disebalik kabus tebal seni grafik sejak lebih 30 tahun yang lampau. Seniman sejati punya ruang tafakur, persegi keramat atau pentas bersemayam. Sejak awal, ternyata Setiawan Sabana sudah mula membina ruang itu sedikit demi sedikit.

Bahan binaannya berasal dari alam. Bulan bersama matahari, juga pohon pisang dan batang padi yang bakal hancur mereput untuk pulang ke bumi! Ruang impian ini berupa tempat seorang pemikir, setelah puas memerhati dan menikmati disetiap pengembaraan. Hasilnya pula adalah pandangan dari mata bersama hati yang dibentuk oleh fikiran yang berilmu serta kemahiran yang halus, tajam dan teruji.

Semenjak ‘pengembaraan kertas’ 1979, beliau tersedar bahawa ada seperti ‘roh’ mengekorinya pulang dari pulau luas serta terbesar dunia itu. Dia terasa begitu dihampiri dan nyata bahawa itu adalah milik kepunyaannya. Terbukti pengalaman tujuh bulan di Australia dan Jepun begitu membekas dan meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Dia seperti dilanda ‘berahi’ selama tujuh bulan! Dirinya ibarat dilantun ke tujuh petala langit dan menjunam ke tujuh petala bumi.

Keluasan laut

Menggerak dada

Nafas terpaut

Pada rasa seluas maut

Dipetik dari puisi Sitor Situmorang,
Cinta, 1951-1955.

Inilah titik permulaan garis lengkung Setiawan Sabana. Garis lengkung ini bisa bertemu hujung dan pangkal kalau dipertanggungjawabkan sepenuh dan sejujurnya. Atau ia boleh hilang saja ditelan atau dibaham musim. Ini bukan garis permasalahan matematik atau garis kebuntuan teknis. Ia adalah pencarian gurisan-gurisan makna serta tujuan hidup yang berlandaskan ketulusan dan keikhlasan. Bagai lapisan-lapisan kertas putih yang terasing tapi masih ditembusi oleh sumber-sumber cahaya yang menerangi perjalanan seorang seniman.

Sememangnya Setiawan Sabana pada peringkat permulaan sudah memperlihatkan serta memahami proses pengkaryaan itu berdasarkan rangka-rangka kerja yang bersifat menyeluruh. Ini jelas terbukti dari simbol-simbol serta manifestasi garis lengkung yang sudah bertemu dan menjadi bulatan dalam banyak karya-karya awal dan semasa beliau. (Sila rujuk karya bertajuk Mentari, Sky Scape – The Imaginative dan Pandangan Langit IV). Cuma pengucapan ini hanya diterbitkan dalam karya-karya senigrafik yang berukuran agak kecil, maka oleh itu ia sering terbiar dan terlepas dari penganalisaan.

Pada 1994, ketika saya masih menuntut dalam bidang senigrafik tradisional Jepun di Tokyo, saya sempat berpameran dengan tajuk Kilimanjaro In Nagasaki. Karya saya yang berwarna hitam merah itu saya jadikan poskad, lalu saya kirimkan ke Bandung. Apabila Setiawan Sabana menerima poskad tersebut, saya diberitahu bahawa beliau juga berpakaian hitam merah semasa perasmian Pameran Menyapa Alam, Merambah Kertas pada 1994. Apakah ini satu kebetulan atau petanda gelombang primordial yang bisa merentasi ruang dan waktu dan amat sukar dijangka dan difahami oleh akal?

Ketika itu iklim politik di Jepun agak panas dengan isu ancaman senjata nuklear dari Korea Utara. Tetapi ternyata negara matahari terbit itu begitu bijak menghadapi provokasi Uncle Sam yang sering menangguk ikan di air yang keruh. Detik 1994 begitu mengingatkan, bahawa kita harus menjadi dan bertambah dewasa setiap masa setiap detik demi sebuah peradaban.

Selepas 1994, saya melihat karya Setiawan Sabana dari sudut yang agak berbeza. Pada hemat saya, beliau tidak merancang atau berhasrat untuk memberi definasi baru atau re-evaluasi terhadap kaedah senigrafik secara umum atau secara khusus di Indonesia. Jika pada awalnya Setiawan Sabana dianggap melahirkan karya ikutan atau cangkokan Barat kerana membuat gurisan asid atau sutera saring, itu hanyalah masalah teknis yang kecil. Kalau beliau dianggap menuruti kaedah senigrafik Eropah atau Jepun itu pula hanyalah hal pengurusan.

Kita harus sedar senigrafik yang ada sekarang merupakan salah satu dari produk kesenian moden. Untuk melengkapinya satu sistem telah dicipta bertujuan untuk menguruskan produk tersebut supaya dapat dipasarkan secara efektif dalam industri. Jadi agak mustahil kita boleh menilai dan mengukurnya dari perspektif seorang seniman yang ideal? Cuma, tepuk sajalah dada, tanyalah selera. Kita boleh akur pada resepi senigrafik moden kerana kita merasakan banyak lagi perbuatan peniruan dan ikutan yang sedang kita lakukan. Atau kita boleh bersembunyi merangkul semangat kesenian moden kerana ia memberi banyak pulangan yang menggairahkan. Barangkali kita boleh menolak terus-seperti jadi talak tiga?

Meneliti karya-karya Setiawan Sabana, secara halus beliau mengingatkankan kita bahawa tiada apa yang kekal dan sempurna dalam kehidupan ini kecuali Dia Yang SATU. Kita terlalu dihantui dan begitu kemaruk mendokong serta mengejar material, sedangkan segalanya adalah objek-objek sementara yang rapuh. Inilah salah satu yang boleh kita pelajari dari arkeologi, namun unsur-unsur keimanan ini sering dipinggirkan oleh obsesi dan keangkuhan para ilmuan yang sekular. Paling sinis dalam pameran tersebut apabila buku-buku dan lebaran-lebaran yang rosak mereput diletakan di atas music note stand di sudut ruang pameran. Ia terang-terangan memberi sebuah gambaran ‘pinggir’.

Satu penyataan yang menusuk bahawa kegemilangan serta kehebatan disuatu masa dulu, kini hanya menjadi sebuah nyanyian, siulan atau hiburan semata-mata. Tetapi dalam masa yang sama beliau juga menggunakan beberapa buah rehal untuk mempamerkan lebaran-lebaran yang juga rosak mereput itu. Mungkinkah dia membisikan sesuatu kepada kita tentang apa itu sebuah tanggungjawab dan nilai-nilai keilmuan yang hakiki, kerana rehal itu adalah sebuah petanda serta simbol keilmuan dalam tamadun Islam. Atau beliau ingin mengusik. Pilihlah yang mana kamu suka, sebuah rehal atau music note stand.

Keinginan dan perwatakan manusia itu juga begitu, cuba disampaikan dalam karya-karya kertas berbentuk tubuh manusia yang bergantungan dan bergelimpangan dalam ruang pameran. Cuba bayangkan jika objek-objek tersebut diperbuat dari bahan berat, keras dan pejal seperti batu, gangsa, besi atau simen. Kita akan menerima respon yang menular dan membebankan pandangan mata kerana ia akan memberi sisipan-sisipan tentang sebuah kedegilan dan keangkuhan manusia. Tetapi kertas-kertas itu berlainan dan memberi rupa dan rasa rendah diri, akur lalu bertawaduk. Atau di kalangan kita tidak terasa apa-apa kerana itu adalah cara hidup kelompok-kelompok masyarakat moden. Barangkali juga ada yang hanya akan mempercayai bahawa setiap pesanan dan pengertian yang dilihat dan didengar itu hanya tepat dan betul jika disampaikan oleh alat-alat elektronik yang hebat. Bukan dengan medium yang buruk, lapuk dan mundur.

Kesimpulannya saya melihat karya-karya di pameran Setiawan Sabana sebagai sebuah jelmaan prinsip-prinsip dan tingkat-tingkat kejiwaan beliau. Tanpa disedari beliau melihat, bekerja dan berkarya dengan memenuhi serta merangkumi segenap keperluan nilai-nilai murni kehidupan. Karya-karyanya adalah refleksi-refleksi pendidikan awal ‘rumah bonda’ yang berkembang dengan begitu baik dan sihat. Ini merupakan kerlipan-kerlipan cahaya asuhan naluri yang diikuti, berkembang dan adakalanya boleh tersasar jauh jika seseorang itu tidak cukup hati-hati untuk menguruskannya.

Setelah puas mengembara beliau menjejaki bekas-bekas dan tanda-tanda silam. Kesan-kesan masa lampau ini dikutip, disusun dan dibina semula. Kini dia boleh pulang dengan senang dan gembira meniti ‘titian lengkung’ yang sudah bertemu dan telah menjadi jambatan peribadi untuk laluan hariannya.

Artikel ini ditulis bersempena dengan Pameran Solo ‘The Cosmos of Paper: Trail of The Self – Setiawan Sabana’, di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 21 Februari hingga 21 Mac 2013.