I. Juhari juga yang mengenal…

Pengenalan dengan Juhari Said berlaku secara tidak bersemuka. Bermula dari sama-sama mewakili Malaysia di pameran “ 2nd. World Triennial of Small Prints” di Perancis pada tahun 1991. Pertemuan berlaku hanya oleh karya-karya kami yang berada pada ruang pameran yang sama di sebuah bandar di Perancis yang bernama Chamalieres. Potret dan biodata kami juga termuat dalam sebuah penerbitan yang sama mengiringi pameran tersebut. Selain dari peristiwa tersebut, saya dan Juhari tak pernah bersapa, baik melalui telefon, berutus surat, apatah lagi secara peribadi. E-mail memang belum lagi menjadi amalan di Malaysia pada ketika itu.

Sekali lagi pertembungan antara saya dan Juhari berlaku, dua tahun kemudian iaitu pada 1993. Kali ini juga karya-karya kami bertemu lagi dalam satu pameran seni cetak kebangsaan anjuran Balai Seni Lukis Negara di Kuala Lumpur. Pameran ini diberi nama “Graphic Communications Through Prints“. Satu pameran tinjauan perkembangan genre seni cetak di Malaysia. Walaupun pameran kali ini berlangsung di Kuala Lumpur, sekali lagi saya masih tidak berkesempatan bertemu dengan seniman cetak yang bernama Juhari ini. Pameran ini berlangsung sebaik sahaja saya meninggalkan Malaysia untuk ke New York, Amerika Syarikat.

Pada tahun 2000, saya dihubungi oleh Lia Grambihler, salah seorang kurator/penganjur pameran “The 5th. World Triennial of Small Prints” untuk mempelawa saya menyertai pameran tri-tahunan ini. Saya menyertainya. Pada penghujung pameran tersebut, saya menerima bungkusan dari pihak penganjur di Perancis. Bungkusan ini mengandungi sebuah buku penerbitan sempena pameran tersebut. Di dalam buku yang setebal tiga inci dan seberat hampir sekilogram itu termuat gambar wajah seniman, biodata, serta karya seni cetak mereka yang disusun mengikut kelompok negara yang diwakili. Bagi negara Malaysia, selain daripada saya, juga diwakili oleh Juhari Said, serta Long Thien Shih, Ilse Noor, Raja Azhar Idris dan Md. Jamil Md.Isa. Buat kesekian kalinya kami bertemu karya dengan karya di sebuah dewan pameran di sebuah negara yang jauh. Saya dan Juhari, juga masih tak mengenal antara satu sama lain. Walaupun demikian, kami saling menyedari tentang berlakunya penyertaan bersama dalam pameran besar di negara Perancis tersebut.

Pertemuan empat mata antara kami hanyalah berlaku pada tahun 2004 apabila Juhari Said mengadakan pameran solo beliau secara besar-besaran di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pameran yang diberi nama, “Akal Di Mata Pisau” menghimpunkan sejumlah besar karya beliau yang menjangkau sejak mula belajar di UiTM sehinggalah karya yang terbaharu pada masa itu. Ia merupakan satu pameran komprehensif yang dizahirkan oleh satu ketekunan yang tinggi, apa tah lagi untuk satu genre seni visual yang selalunya dikesampingkan. Genre seni cetak selalu terpinggir.

Menyusuri dari satu sudut ke sudut yang lain di pameran tersebut, pengunjung dapat menjejaki kefasihan seniman terhadap bahan dan teknik seni cetak yang dipilih Juhari. Seni cetak kayu, adalah teknik yang asas, tetapi boleh dimanipulasi – dari yang seringkas-ringkasnya sehinggalah kepada yang sehalus dan serumitnya. Pameran solo besar tersebut juga merupakan majlis pelancaran coffee-table book mengenai beliau yang sama tajuknya, “Akal Di Mata Pisau.”

Dalam suasana yang sibuk dan ramai pengunjung itu pun saya sempat bertemu Juhari memberi ucapan tahniah dan menyampai rasa kagum saya kepada beliau. Beberapa kerat sahaja seniman yang bergerak dan mengkhusus dalam teknik seni cetak.

Pertemuan itu tidak kami rasakan sebagai pertemuan kali pertama antara kami. Walaupun sememangnya pertemuan kali pertama, terasa seolah-olah kami memang telah pernah berjumpa sejak empat belas tahun sebelum itu.

II. Juhari juga yang dikenal…

Penglibatan Juhari yang berterusan dan konsisten dalam bidang seni cetak telah menyebabkan beliau dianggap sebagai satu institusi. Tidak ada satu pun peristiwa besar senicetak di Malaysia yang dianggap lengkap tanpa penglibatan Juhari di dalamnya. Penglibatan beliau samada sebagai seniman yang dijemput memperagakan karya, mahupun sebagai kurator jemputan atau penasihat bagi satu-satu pameran.

Antara pameran yang beliau aktif membantu menggerakkannya termasuklah beberapa siri pameran “Malaysian Annual Exhibition of International Contemporary Prints”, anjuran Central Art Academy, Kuala Lumpur. Loo Foh Sang sebagai kurator pameran tersebut mendapatkan bantuan dan kepakaran Juhari bagi sama-sama menjayakan pameran dwi tahunan peringkat antarabangsa itu atas dasar kepakaran beliau dalam bidang tersebut serta kelebaran jaringan beliau dengan seniman seni cetak peringkat antarabangsa.

Begitu juga pada tahun 1996 apabila Lia Grambihler membawa pameran “World Triennial of Small Print” secara jelajah dari Perancis ke negara-negara Malaysia, Taiwan dan Afrika Selatan, Juhari Said dan Ilse Noor telah dilantik sebagai penyelaras bagi pameran tersebut yang dilangsungkan di Galeri Petronas, Kompleks Dayabumi.
Perkhidmatan Juhari sebagai pakar rujuk dalam bidangseni cetak diberi pengiktirafan besar oleh Balai Seni Lukis Negara, apabila Juhari Said dilantik sebagai kurator jemputan bagi mengendalikan sebuah pameran besar seni cetak yang menggabungkan dua pameran dalam satu pameran serentak. Pameran-pameran tersebut adalah pameran , “British In Print” dan “Print In Malaysia”. Juhari bertanggungjawab mengumpul sejumlah karya-karya seni cetak Malaysia oleh sebilangan seniman cetak Malaysia yang signifikan, menulis esei tentangnya dan membangunkan pameran tersebut.

III. Juhari juga …

Diperingkat antarabangsa, Juhari juga dikenali oleh banyak kalangan. Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara berhubungan dengan ehwal seni dan seni cetak, nama Juhari sering ditanyakan kepada saya. Malah pertemuan saya dengan seniman tersohor Indonesia, Profesor Emiritus Abdul Djalil Pirous juga adalah melalui konteks Juhari. Baru-baru ini Juhari dan saya bersama-sama menghadiri majlis perasmian pameran “The Second Bangkok International Triennial of Print and Drawing” yang dianjurkan oleh Silpakorn University, Bangkok, sebuah universiti seni yang ternama dalam bidang seni cetak, bukan sahaja di Thailand malah terkenal dalam bidang tersebut di peringkat antarabangsa. Dalam upacara tersebut ternyata Juhari, seorang seniman penuh masa yang bukan ahli akademik mana-mana universiti di Malaysia, dikenali oleh sebahagian besar ahli akademik Silpakorn Universiti. Ini termasuk dekan dan profesor-profesor fakulti seni lukis dan seni grafik universiti tersebut.

IV. Juhari …

Mulai Julai tahun 2008 Juhari telah dilantik menjadi ahli cipta Pusat Pengajian Seni. Beliau ditempatkan di Studio Terap Ulang, studio seni cetak yang serba lengkap dan boleh dikatakan terbaik di Malaysia. Sejak kehadiran beliau di Studio Terap Ulang, studio tersebut menjadi kunjungan banyak pihak.

Beberapa siri bengkel seni cetak kendalian Juhari telah dilangsungkan sejak beliau menjadi ahli cipta Pusat Pengajian Seni. Dengan inisiatif Juhari serta bantuan dari beberapa seniman cetak lain, termasuk Ng Kim Peow dan Izan Tahir, satu bengkel telah dijalankan di Terap Ulang dengan penyertaannya datang dari seluruh Malaysia. Beliau juga turut dijemput menjadi fasilitator untuk bengkel seni cetak di peringkat kebangsaan yang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

Studio cetak Terap Ulang menjadi tumpuan dan kunjungan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara sejak kehadiran Juhari di sana. Antaranya ialah pelukis ternama Profesor Emiritus Abdul Djalil Pirous dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia, seniman ternama Malaysia Abdul Latiff Mohidin, pelukis Dato’ Sharifah Fatimah Zubir, dan Dato’ Soccalingam. Turut serta mengunjungi Juhari di Terap Ulang ialah Dr. Tony Donalson dari Asia Institute, Monash University, Australia. Beliau datang mewawancara Juhari sebagai sebahagian dari kajian beliau.

Pelajar-pelajar seni cetak di Pusat Pengajian Seni sememangnya menjadikan studio tempat Juhari bekerja sebagai tempat persinggahan mereka. Ada kalanya sekadar bersembang bertanya khabar, tapi dalam banyak hal mengambil kesempatan kehadiran seorang seniman cetakan ini untuk menimba ilmu dan mempelajari teknik-teknik tertentu. Bagi golongan pelajar ini, kesempatan berbual dengan Juhari dirasakan sangat bererti kerana dalam perbualan yang santai sahaja pun mereka dapat percikan ilmu dari seniman penuh masa yang bukan sahaja gigih berkarya bahkan beliau juga merupakan pengembara yang puas berkelana ke seluruh pelusuk dunia mengadakan pameran, bengkel dan khemah-khemah seni termasuk di Republic of Czech, Tunisia, Thailand, Indonesia, Singapura, Jepun, Bosnia-Herzagovina, Perancis, Sepanyol dan Austria.

V. Juhari … lagi?

Juhari Said telah dianugerahkan dengan Anugerah Karyawan Seni Visual (Dua Dimensi) oleh Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Malaysia pada tahun 2009 sebagai penghargaan dan pengiktirafan diatas keseniman beliau dalam bidang seni visual. Si Juhari itulah manikamnya!

A. Rahman Mohamed
Studio Terap Ulang
Pusat Pengajian Seni USM