Meneropong sanubari

Dalam konteks seni lukis moden Malaysia keterlibatan Juhari Said sebagai seorang jurucetak atau printmaker yang khusus dan gigih tidak dapat disangkal lagi. Selama lebih dua puluh lima tahun menjadi seniman profesional dan mengkhususkan dirinya dalam ciptaan karya seni cetak, Juhari Said telah membina reputasi tinggi dalam bidang pengkhususannya itu. Semenjak penghujung dekad 1980-an sehingga kini, kesalingkaitan di antara seni cetak dan Juhari Said dalam bacaan sejarah perkembangan seni cetak negara amat-amatlah intim. Dengan mudah, pemerhati, peminat dan pengkaji akan membaca kesalingkaitan ini dengan begitu alami sekali. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa apabila kita membahaskan soal seni cetak Malaysia, kita akan mengaitkan ia dengan susuk Juhari Said atau karyanya dan begitu jugalah sebaliknya.

Keadaan tersebut berlaku kerana Juhari Said telah memberi keutamaan atau menetapkan pengkhususannya dalam bidang seni cetak secara tekal dan khusus. Penumpuan keutamaan ini adalah sesuatu yang tersendiri dan bagi sesetengah seniman hal tersebut bukanlah menjadi pilihan utama bagi mereka. Namun sikap istiqamah atau ketekalan berterusan inilah yang sebenarnya membawa kesan panjang dan berterusan seperti yang disebutkan tadi. Apatah lagi jika ia diukur dalam skala tempatan, tidak ramai seniman yang memberi penumpuan khusus dalam genre penciptaan seni tertentu secara tekal. Ketekalan itulah sebenarnya yang menjadi pati atau inti kepada tahap kedudukan yang dimiliki oleh Juhari Said sekarang.

Perkara ini wajar diulas secara sederhana pada permulaan esei ini demi untuk meninjau semula persoalan asas tentang bagaimana atau mengapa Juhari Said dan karyanya ‘terjadi’ dalam konteks yang disebutkan itu. Apakah tema atau rangsangan yang mencuit hatinya atau mengasak jiwanya sehingga sanggup secara tekal mengkhusus dalam bidang seni cetak. Persoalan asas ini telah menjadi satu pertanyaan yang tak kunjung padam bagi hampir kesemua ahli pensejarah seni sejak zaman berzaman. Georgio Vasari tertanya-tanya tentang apakah soal atau aspek yang menjadi ‘perangsang’ kepada Michelangelo sehingga beliau menjadi seniman yang ‘gila’ dan menghasilkan karya yang juga sedemikian ‘gila’. Namun umumnya jawapan yang diterima atau dicari itu biasanya tidak dapat dicerap secara mudah dan konsisten. Dengan kata lain ia bukanlah satu praktis yang boleh diukur secara saintifik. Namun secara ironinya ia adalah satu fenomena yang benar berlaku, dalam kes ini kepada Juhari Said.

Ketekalan Juhari Said dalam memberi penumpuan kepada bidang seni cetak dalam bacaan luas telah menemukan dirinya. Penumpuan itu bukan hanya berakhir pada aspek-aspek teknikal sehingga berkeupayaan dipanggil sebagai pakar seni cetak (master printer) atau sebagainya. Bahkan apa yang menjadi inti kepada keadaan itu semua adalah semangat, aspirasi dan dorongan itu telah berjaya membongkar sesuatu yang bersifat peribadi secara mendalam. Pada penulis keadaan atau sifat inilah yang menjadikan seniman itu istimewa dan penting berdasarkan pengalaman perjalanan seninya. Karya-karyanya adalah catatan atau lontaran reflektif kepada pengalaman perjalanan itu sendiri. Ia bersemadi dan terbenam bersama jiwa dan pemikiran seniman itu sendiri.

Dalam konteks luaran, mungkin kita boleh bercakap tentang soal tema-tema yang digunakan oleh seniman serta idea-idea, gaya, pengaruh, teknik dan sebagainya. Namun apakah aspek dorongan besar dan yang penting itu, hingga menjadikan keadaan itu semua berlaku dan terjadi?. Dalam konteks ini persoalannya adalah, apakah yang menyebabkan Juhari Said sebegitu tekal dalam bidang seni cetak ini selama lebih dua puluh tahun, bahkan tidak nampak tanda-tanda beliau akan bosan atau mengundur diri bidang pengkhususannya ini. Dalam ukuran dan tindakan akademik khususnya dalam disiplin sejarah seni, biasanya penyelidik akan mengkaji angkubah-angkubah tertentu kepada fenomena tersebut. Lalu mereka akan menganjurkan penggunaan kaedah tertentu sebagai alat untuk mencerap dan menghurai keadaan atau fenomena tersebut. Bahkan terdapat sebegitu banyak kaedah sejarah seni yang telah diperkenalkan atau digunapakai untuk situasi itu. Dengan cara yang berstruktur pengkaji boleh bertanya sendiri kepada seniman, orang-orang disekelilingnya atau membuat satu penelitian kepada faktor-faktor sosial yang mempengaruhi sehingga terjadinya keadaan yang sebegitu rupa.

Penumpuan penelitian tersebut boleh dilakukan, namun penulis lebih tertarik dengan persoalan kemanusiaan yang paling asas dalam diri individu itu sendiri. Ia seolah-olah sama dengan pertanyaan yang dibuat oleh Paul Gauguin pada tajuk catan terkenalnya pada tahun 1897 iaitu “Where Do We Come From? What Are We? Where Are We Going?”. Persoalan asasi ini sangat menarik sebenarnya untuk diperhatikan dalam konteks kedirian dan perjalanan seorang seniman tegar seperti Juhari Said. Dari satu segi ia boleh menjurus kepada aspek inspirasi, dorongan atau sebarang instrumen yang merangsang beliau untuk menjadi seniman ‘seperti beliau’. Penulis tidak akan memanjangkan persoalan tersebut dalam ruang esei ini dan amatlah wajar jika dibuat satu kajian lain untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai persoalan tersebut. Lontaran pendek dan sederhana ini hanya menjadi sebagai pembuka bicara atau appetizer kepada aspek-aspek lain yang ingin dibincangkan seterusnya dalam esei ini.

Pelantar intimasi

Apabila melihat perjalanan seni Juhari Said penulis merasa amat tertarik dengan hubungkait antara Juhari Said dan kayu. Hubungkait tersebut secara luaran akan segera dikaitkan dengan penumpuan seni cetak timbul menggunakan blok kayu yang diaplikasikan oleh beliau sejak memulakan kerjaya sebagai seniman lebih dua puluh tahun lalu. Benar, tidak dapat dinafikan bahawa penumpuan kepada cetakan kayu oleh beliau itu dari satu sudut telah memberi nilai keupayaan pengkhususan dan reputasi tinggi. Bermacam kaedah atau teknik telah beliau terokai dengan menggunakan blok kayu tersebut.

Namun apabila meninjau sedikit latar sejarah dan konteks yang melingkari perjalanan dan pengalaman seni beliau, saya merasakan bahawa dari satu sudut kayu telah menjadi semacam instrumen yang intim, penting, genting dan mesra dalam ruang hidupnya itu. Realiti bahawa arwah bapa beliau adalah seorang tukang kayu yang mahir dalam pembinaan rumah telah meletakkan satu tanda permulaan kepada perhubungan antara kayu dengan beliau dengan lebih erat lagi. Kenyataan peribadi beliau sewaktu zaman kanak-kanak yang selalu melihat bagaimana seorang tukang kayu (bapanya) bekerja dengan alatannya bagi membina rumah tempat mereka sekeluarga tinggal, secara langsung telah memberi tanda yang jelas kepada perhubungan tersebut.

Instrumen, ciri atau aspek intrinsik kayu ini kemudiannya telah muncul secara tersendiri dan unik dalam karya-karya Juhari Said dari semenjak awal tahun 1980-an. Dari segi praktisnya, penumpuan Juhari Said kepada seni cetakan kayu telah banyak menyumbang kepada keadaan tersebut. Karya cetakan kayu awal beliau dari siri Death of The Princess dan Garden telah memulakan riak-riak eksplorasi nilai dan ciri yang disebutkan tadi. Terutamanya dalam siri Garden dan beberapa karya cetakan kayu yang beliau hasilkan antara tahun 1985 sehingga 1987, kita dapat melihat Juhari Said telah memberi penumpuan kepada karekteristik kayu sebagai alat atau instrumen yang menjelmakan bentuk karya-karyanya. Secara formalistiknya penumpuan kepada aspek jalinan dan rupa telah membawa karya-karya ini ketahap yang tersendiri. Karekteristik kayu telah menjadi vehicle utama kepada persembahan ciptaan tersebut dan ia juga seakan memberi watak tersendiri kepada keseluruhan bentuk-bentuk karya tercipta itu.

Kayu atau blok kayu seterusnya telah menjadi pilihan utama Juhari Said dalam mencipta karya-karya seni cetak. Penumpuan beliau kepada cetakan kayu telah mencapai tahap yang tersendiri melalui karya-karya yang dikerjakan sewaktu berada di Jepun pada tahun 1994, di bawah program fellowship kelolaan Japan Foundation. Pada pertengahan tahun 1990-an Juhari telah mengusahakan pula karya-karya yang bersifat gabungan, dengan menjadikan kayu dan karekteristik kayu sebagai sebahagian dari elemen bentuk yang tergabung itu. Walaupun pada fasa ini kesan eksplorasi dan eksperimentasi secara radikal dalam konteks seni cetak telah digerakkan namun anasir kayu masih tetap wujud disana-sini dalam karya beliau. Intimasi cetakan kayu telah kembali menjelma dalam karya Juhari Said apabila pada sekitar tahun 1997, beliau telah mula menghasilkan karya cetakan kayu yang menjurus kepada idea peribahasa dan bidalan Melayu. Kayu telah sekali lagi diberikan tempat yang penting dan kritis dalam janaan imej-imej karyanya. Karya-karya beliau dalam pameran Okir pula tentunya telah membawa elemen kayu ketahap yang amat-amat berbeza berbanding sebelumnya dan ia menandakan bahawa fasa atau paradigma ciptaan kreatif Juhari said telah memasuki suatu keadaan yang berbeza.

Penulis merasakan perhubungan antara Juhari dan kayu adalah ‘sesuatu’. Ia seakan-akan satu gemaan semula, suatu kerinduan dan bahkan kedirian beliau sendiri. Intimasi antara beliau dengan kayu adalah suatu keterpesonaan yang berbekas, apabila ia telah digembleng ketahap janaan bentuk karya yang pelbagai. Intimasi panjang antara beliau dan kayu telah membawa Juhari Said meneroka tahap kreativti, kedirian dan makna yang berbeza sepanjang perjalanan seninya itu. Banyak aspek yang boleh dihuraikan mengenai perhubungan antara Juhari Said dan kayu dalam konteks ciptaan seni beliau itu sendiri. Kajian dari sisi sosiologi, budaya, psikoanalisis atau sekurang-kurangnya formalistik boleh menghasilkan kesan konteks yang mewah terhadap persoalan tersebut.

Mencabar sempadan

Karya-karya yang terpamer dalam pameran ini secara khusus terhasil melalui proses yang agak berbeza berbanding proses dan teknik biasa yang dikaitkan dengan bidang seni cetak. Pendekatan Juhari Said dalam karya-karya barunya ini adalah lanjutan dari percubaan dan eksplorasi yang sebenarnya telah bermula sejak dari siri Garden pada pertengahan tahun 1980-an. Seni cetak sebagai satu genre pengucapan seni visual telah diangkat dan ditolak ketahap kritikalnya dari aspek definasi, bentuk, prinsip asas, teknik dan konsepnya. Dari satu sudut situasi ini menggambar sifat seni moden dan sezaman itu sendiri yang sentiasa haus dengan sifat pembaharuan atau novelty. Sifat dualiti seni moden yang meraikan ideologi modenisme dengan pembaharuan bentuk pengucapan dan dalam waktu yang sama senantiasa merangsang aspek kritikan terhadapnya telah menghasilkan watak dan bentuk seni moden itu sendiri. Paradigma kritikan diri pula telah diangkat oleh ideologi seni sezaman melalui pemikiran pasca moden ketahap yang lebih kritikal.

Sifat dan fitrah seni cetak yang amat mementingkan elemen turutan teknikal telah digembleng oleh Juhari Said sebagai nadi utama kepada eksplorasinya dalam karya-karya terbarunya ini. Dari segi sejarahnya, pembaharuan teknik dan persembahan akhir adalah sesuatu yang agak sukar berlaku secara agresif dalam bidang seni cetak. Sebagai contoh, proses intaglio seperti engraving yang mula diketahui dan digunakan oleh seniman Jerman dan Itali semenjak pertengahan abad ke 15, masih kekal sehingga ke hari ini dianggap sebagai teknik yang baku dalam bidang seni cetak. Kebakuan dan sifat konvensional tersebut telah dijadikan batu asas oleh Juhari Said untuk memberi nilai dan sifat baru kepada sifat dan bentuk seni cetak itu sendiri.

Prinsip asas seni cetak adalah ia mesti mempunyai blok atau matrik tunggal yang kemudiannya digunakan untuk mencetak seberapa banyak salinan yang diperlukan. Melalui prinsip ini Juhari Said telah bergerak untuk memberi tafsiran dan nilai-nilai baru dari segi persepsi, bentuk dan teknik kepada karya seni cetak itu sendiri. Dalam siri karya terbarunya ini Juhari said telah menggunakan blok atau matrik itu sendiri sebagai elemen utama untuk diberi perhatian khusus. Dalam proses seni cetak timbul, serigraf, intaglio (benam) dan juga litograf, penumpuan tertentu telah diberikan oleh seniman kepada blok atau matrik kerana melalui blok atau matrik itulah segala imej cetakan yang diinginkan itu akan terhasil. Penumpuan tertentu tersebut meliputi aspek seperti menoreh, mencakar, melakar, mengakis atau sebarang teknik tertentu sehingga gambaran yang diinginkan itu terhasil. Penumpuan itu juga turut meliputi aspek perletakan warna. Dari blok atau matrik yang telah ‘siap’ inilah maka karya-karya seni cetak itu terhasil apabila ia dicap atau dicetak kepada kertas atau sebagainya.

Tafsiran dan nilai baru yang diaplikasikan oleh Juhari Said melalui karya-karya yang terpamer ini adalah dari aspek persediaan pembuatan blok atau matrik. Dengan kata yang mudah karya-karya ini adalah sebenarnya merupakan blok atau matrik yang telah melalui proses penumpuan teknik yang disebutkan tadi. Ya, Juhari Said tidak mencetak blok atau matrik yang disiapkannya itu, tetapi memamerkan pula blok atau matriknya itu. Keadaan ini terjadi kerana Juhari Said telah cuba untuk meluaskan takrifan atau tafsiran teknikal seni cetak berdasarkan proses teknikal seni cetak konvensional itu sendiri. Penumpuan pameran ini memberi isyarat bahawa pemerhati harus menginsafi dan memahami proses seni cetak itu sendiri sebelum dapat memberi kaitan kepada keseluruhan proses yang berlaku atau terbentuk melalui karya ini.

Dari banyak sisi pameran ini bernada kritikal terutama dari aspek persembahan bentuk dan tafsiran kreatifnya. Juhari Said telah melontarkan satu bentuk tafsiran berbeza apabila memberi indikasi bahawa karya-karya ini sebenarnya adalah satu bentuk seni cetak. Keadaan tersebut dikatakan berlaku kerana seni cetak konvensional hanya memamerkan hasil-hasil karya seni cetak yang terhasil dari blok atau matrik. Sedangkan dari tafsiran teknikalnya, blok atau matrik itu sendiri sebenarnya adalah sebahagian dari ‘seni cetak’ itu sendiri. Dengan memamerkan blok atau matrik yang telah siap itu dengan sendirinya bermakna Juhari telah memamerkan seni cetak melalui tafsiran yang disebutkan tadi. Secara mendalam Juhari Said sebenarnya ingin meluaskan ruang lingkup seni cetak dan praktisnya melalui tafsiran baru berdasarkan asas takrifan teknikal yang konvensional. Setiap karya seni cetak memerlukan blok atau matrik, maka dengan mengembleng potensi blok atau matrik tersebut Juhari Said telah membina satu jalan untuk mengembangkan lagi potensi seni cetak dari aspek persembahan bentuknya.

Seperti yang telah disebutkan tadi, bidang seni cetak telah dipasung dengan dengan kepatuhan yang ketat dari aspek teknikalnya, sehingga ia disifatkan terlalu setia dengan konvensi yang menghalang penafsiran baru keatasnya. Sebarang kelainan atau perubahan yang berlaku dari segi teknik dengan mudah ditakrifkan sebagai sesuatu yang bukan bersifat seni cetak. Halangan ini dari satu sudut telah melambatkan perkembangan seni cetak berbanding dengan genre catan dan arca. Namun berbalik kepada karya-karya seni cetak yang di cipta oleh Juhari Said dalam pameran ini. Persoalan tafsiran dan takrifan seni cetak tersebut kembali boleh diperbahaskan dengan lebih lanjut. Apakah ini sebenarnya sebuah karya seni cetak? Adakah ini sebuah karya seni cetak baru? Adakah ini sebenarnya satu sifat seni cetak alternatif? Atau secara jelas karya-karya ini sebenarnya bukan sebuah karya seni cetak. Jawapan kepada setiap persoalan tersebut sebenarnya terletak kepada bagaimana atau dari mana pemerhati melihat isu tersebut. Ia juga berkaitan kaedah tafsiran dan takrifan yang digunapakai, yang tentunya pula berkaitan dengan sebarang ideologi yang digunakan.

Penulis berpendapat karya-karya baru ini jika dinisbahkan dengan bidang seni cetak, ia amat mencabar dan kritis. Berlainan jika ia dinisbahkan sebagai sebuah arca atau seni instalasi. Setelah memperhalusi premis-premis asas yang dinisbahkan kepada karya-karya ini, penulis berpendapat karya-karya ini jika ia disifatkan sebagai karya seni cetak maka ia memenuhi sifat dan ciri karya seni cetak secara konseptual. Keadaan tersebut berlaku memandangkan asas intepretasi Juhari Said adalah jelas berdasarkan teras idea dan takrifan seni cetak itu sendiri. Iaitu Juhari Said bergerak diatas dasar eksplorasi blok atau matrik yang menjadi elemen terpenting dalam ciptaan seni cetak. Bermakna secara konsepnya keadaan tersebut amat releven dan signifikan dalam konteks konsep tafsiran kepada takrifan seni cetak. Dengan kata yang mudah, karya-karya ini amat jelas merupakan ciptaan karya seni cetak yang dicipta hasil dari tafsiran secara konseptual terhadap maksud seni cetak dari segi aturan dan keperluan teknikalnya berdasarkan fitrahnya. Bermakna juga karya-karya ini amat kritikal, berjaya dan terkehadapan secara konsepnya.

Sementara secara teknikal dan prinsipnya karya-karya ini tidak memenuhi tuntutan fitrah sebuah karya seni cetak berdasarkan takrifan yang sama yang digunakan untuk tafsiran secara konseptual tadi. Namun seperti yang disebutkan tadi, tafsiran yang berbeza terjadi akibat dari penggunaan ideologi yang berbeza berdasarkan tuntutan ruang masa dan perubahan teknologi. Kita boleh analogikan keadaan ini dengan contoh perkembangan filem pegun, seluloid, pita magnetik dan data digital. Sebarang perubahan baru kepada bentuk-bentuk seni sebelumnya akan turut memberi dampak berbeza kepada perkembangan bentuk seni tersebut pada masa mendatang. Bahkan sebarang perubahan juga berkemungkinan akan melahirkan arah aliran baru, sifat baru dan juga dunia baru kepada waris dari salasilah yang lama. Dalam konteks perbahasan takrifan dan tafsiran konseptual, teknikal dan prinsip seni cetak tadi, satu ruang lain diperlukan untuk meninjau isu dan persoalan tersebut secara lebih mendalam dan kritis.

Biasan tampak

Berbalik kepada karya-karya terbaru Juhari Said yang dipamerkan dalam pameran yang berjudul Samudra ini. Adalah nyata secara fizikalnya karya-karya ini agak berbeza dan berlainan berbanding dengan karya-karya sebelumnya. Lebih banyak ‘rasa’ terpamer dalam karya-karya ini. Rasa dari segi bentuk, warna, jalinan dan ruang. Perbezaan ini adakalanya boleh dianggap sebagai pemecah kesunyian kepada sifat hitam putih yang biasa dikaitkan dengan karya-karya Juhari Said. Satu hal yang paling ketara adalah sifat asas bentuk karya itu sendiri yang menggunakan bongkah atau lapisan kayu. Sebahagian bentuk-bentuk organik vertikal yang direka itu mengingatkan kita kepada sifat asas epigrafi, prasasti dan megalit yang wujud dikawasan Asia Tenggara semenjak berabad-abad lamanya. Diantaranya yang paling hampir yang boleh disebutkan disini adalah megalit pedang yang ditemui di Pengkalan Kempas. Sebaliknya pula tekanan-tekanan lorekan dan ukiran kayu itu pula seakan satu lanjutan moden kepada tradisi sobekan atau ukiran kayu yang telah lebih 500 tahun berakar dalam tradisi kesenian tampak di rantau Nusantara. Dari segi konteks visual, karya-karya dari siri Samudra ini walaupun secara konkritnya amat berpaksikan Barat, namun citarasa tempatan itu masih tetap bergetar disebalik bentuk keseluruhan karya tersebut. Kayu dan seramik yang menjadi bahan mentah utama dalam penciptaan karya-karya tersebut adalah bahan yang amat mesra dalam tradisi kesenian Nusantara. Ia melambangkan leluhur watak asal kepada kesenian tradisional tersebut.

Sementara perjuangan Juhari Said menyiapkan blok atau matriknya itu terpapar jelas dengan segala gerak torehan, tarahan dan juga aplikasi warna yang saling tindan menindan. Sekali lagi pemerhati didedahkan dengan proses pembuatan seni cetak itu sendiri yang kini nampaknya berbeza. Berbeza kerana kita berhadapan dengan satu bentuk karya yang disifatkan sebagai seni cetak yang bukan seperti biasa adanya. Keluarbiasaan itu dari satu sudut telah membebaskan skala ciptaan seni cetak itu sendiri dari belenggu saiz kertas atau mesin cetak. Dalam sudut yang berbeza pula teknik-teknik yang digunakan telah diangkat menjadi tema utama kepada seluruh usaha mengembang dan membebaskan bentuk seni cetak itu sendiri.

Safrizal Shahir
Dipetik dari Katalog Samudra, terbitan Pusat Pengajian Seni dan Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, 2009.