Melalui seorang teman pelukis, saya diperkenalkan dengan Allahyarham Dato’ Syed Ibrahim dan isterinya Datin Mariam Yusof.  Pasangan usahawan ini merupakan tokoh yang banyak membantu golongan pelukis, termasuk saya. “Banyak pelukis yang saya bantu sudah berjaya, tapi saya suka memerhatikan mereka dari jauh sahaja.” Itu kata-kata Dato’ Syed Ibrahim yang terakhir kepada saya.  Istilah ‘jauh’ disini mencerminkan keperibadian Dato’ Syed Ibrahim yang rendah diri dan tidak gemar publisiti.  Mereka dengan murah hati membenarkan saya menggunakan salah sebuah banglo dua tingkat milik mereka sebagai studio bersebelahan Sisma Auto di Lorong Yap Kwan Seng, tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Di studio inilah saya bertemu Azhar, ketika itu beliau masih bekeja di Sisma Auto.  Tugasnya menjaga pasu bunga dan kadang-kadang menjadi pemandu.  Minatnya pada kerja kreatif tiga dimensi amat mendalam.  Azhar pendiam orangnya, tetapi kalau diperhatikan, sebenarnya beliau tidak pernah duduk diam.  Beliau sentiasa berbuat sesuatu, melukis, menanam pokok bunga dan kadang-kadang padang rumput yang dipotong pun direka corak tertentu.  Apalagi meja tulisnya sentiasa diubah hampir setiap hari.

Azhar merupakan manusia yang sering resah, tetapi selalu tersenyum dan gemar mengucapkan
”Entahlah…bang.” Kalau dilihat daripada susuk tubuhnya, saya rasa tidak banyak orang yang mahu menjadi majikannya.  Ditambah pula oleh rupa dan gayanya yang kurang menarik.  Selalunya manusia kreatif  memang begitu, kehebatan selalu terpancar pada karya, bukan paras dan rupa.

 “Jangan nilai rupa paras ku tapi ambil apa di tangan ku” – RUMI

Hampir dua tahun saya berkongsi studio bersama-sama Azhar di Lorong Yap Kwan Seng. Disitulah saya perhatikan segala-galanya.  Setelah rumah dan studio saya siap di Hulu Langat, saya pun berpindah, tetapi Azhar masih di studio Yap Kwan Seng, berkarya bersama-sama banjir lumpur yang  kerap melanda.  “Juhari, please look after Azhar,” pesan Datin Mariam sebelum saya berpindah.  Sebenarnya Azhar saya bawa berpindah bersama-sama simpati saya ke Hulu Langat. Benak saya selalu berfikir bagaimana cara saya dapat membantu seorang bapa mempunyai tiga orang anak kecil itu tetapi masih bersemangat untuk berkarya dan ingin menjadikan seni itu sebagai dirinya.  Saya sebagai pelukis sepenuh masa, segala-galanya amat terbatas dan kadang-kadang tidak berdaya, cuma yang sering membara adalah api jiwa.

Saya bertemu Goh Chiu Kuan dan Wong Eng Leong ketika mereka menyertai Kem Sonneratia anjuran Balai Seni Lukis Negara di Taman Alam, Kuala Selangor pada tahun 2002.  Bersama kira-kira 25 orang pelajar kolej dan universiti tempatan, Encik Hasnul Jamal Saidon, Encik Fuad Osman, Cik Bibi Chew (kini Puan), Puan Sharmiza Abu Hassan, serta saya merupakan fasililator untuk projek ini.

Disini kami bertemu kumpulan pelajar yang datang dari pelbagai kolej dan universiti (kami istilahkan sebagai pelbagai jenama).  Bengkel ini dihadiri oleh anak-anak muda yang penuh kenakalan, lucu dan berbagai-bagai ragam.  Mereka ini sering berperang dengan perasaan dan tugas kami adalah untuk menjinakkan anak-anak muda ini agar mereka boleh berkarya secara kreatif dan konstruktif.  Tugas ini memang berat, membimbing anak-anak muda ini dalam masa lima hari, mengikis ‘jenama’ diri serta menyatukan hati dan budi mereka.

Goh Chiu Kuan, seorang yang periang dan cergas dalam serba-serbi.  Kulit putih dan susuk tubuhnya sekali imbas macam anak ‘tauke besar’ tetapi banyak orang yang tidak tahu bapanya hanya buruh kasar dan adakalanya menjadi penarik beca di Teluk Intan.  Kesempitan hidup keluarganya membuatkan beliau tidak dapat meneruskan pengajiannya di kolej swasta.  Beliau amat meminati bidang seramik dan mahu menjadikan bidang ini sebagai kerjayanya.
Wong Eng Leong, seorang peserta yang agak tidak menonjol pada awalnya.  Rambutnya panjang serta perwatakannya yang agak pendiam membuat dirinya kurang menonjol.  Kemudian pada hari ketiga, beliau sudah mula menunjukkan ‘belang’nya.  Suatu pagi, setelah pulang dari ekspedisi meredah hutan bakau, Wong Eng Leong bersama-sama rakannya sudah punya satu rancangan hebat untuk saya dan Encik Hasnul.  Dengan badan yang penuh lumpur mereka datang mengejar kami berdua.  Kelucuan itu memecahkan segala-galanya.  Mungkin ekspedisi hutan bakau serta menyambut hari jadi Cik Bibi dalam lumpur amat mengembirakan mereka.  Begitulah alam, bau busuk lumpur bakau rupanya boleh menerbitkan keharuman persahabatan yang saya ingati hingga ke hari ini.

Bapa Wong Eng Leong bekerja sebagai pembeli besi buruk di Kelantan.  Tidak lama selepas itu saya mendapat tahu bahawa bapanya baru saja meninggal dunia dan kesempitan hidup beliau membuatkan beliau terpaksa berhenti belajar.  Pernah beliau ditanya oleh pensyarah di kolejnya bagaimana beliau akan menyara hidupnya.  Jawapannya agak mudah, “Saya tidak boleh mati punya.” Jawapan itu agak lucu bunyinya, tetapi bagi saya ia cukup untuk memperlihatkan jiwa dan semangat kental dirinya.

Yayasan Raja Muda Selangor sememangnya mengalu-alukan bakat serta semangat yang sebegini.  Saya melihat ia sebagai rezeki buat mereka bertiga.  Program selama dua setengah tahun ini bukan sahaja mencabar bakat dan kesungguhan mereka, malah menguji bimbingan dan tunjuk ajar saya.  Kejayaan adalah sebuah kegembiraan, tetapi kegagalan terletak di bahu saya.

“Semoga berjaya.”

Juhari Said
Dipetik dari Katalog Talent For The World – The First Show, 2005
Yayasan Raja Muda Selangor