Ketika di sekolah menengah, saya sering terbaca tentang kegiatan seni di Anak Alam. Malah, saya pernah menaiki bas dari Ipoh ke Kuala Lumpur hanya untuk melihat dan mengetahui kegiatan seni mereka dengan lebih dekat. Bagi anak muda berusia 15 tahun dan minat melukis, Anak Alam merupakan nama yang cukup akrab dengan saya ketika itu.

Bagi Rahime Harun, hubungannya dengan Anak Alam pasti lebih akrab daripada saya. Beliau yang ketika itu bertugas di Balai Seni Lukis Negara sering berulang-alik ke Anak Alam, memerhati serta belajar dari karyawan seni di sana. Latiff Mohidin, salah seorang pelopor Anak Alam membawa mesin cetaknya dari Kampung Delek, Klang ke Anak Alam pada 1974. Sebenarnya mesin cetak itu asalnya sebuah mesin getah yang di ubahsuai dua tahun sebelumnya. Dengan mesin tersebutlah, karyawan Anak Alam berkarya dan Rahime menyaksikan sendiri mereka mengadakan pameran seni cetakan pada 1977.

Apabila Latiff mendapat tawaran menjadi karyawan tamu di Universiti Sains Malaysia, ‘mesin getah’ tersebut ‘diwartakan’ kepada Rahime dan sehingga sekarang masih tersimpan baik di AP Galeri, Taman Melawati. Mungkin inilah ‘api’ yang menyemarakkan kegiatan seni cetak Rahime.

Kerajaan Malaysia memberikan kesempatan kepada Rahime untuk mempelajari pengurusan usahawan di Turin, Itali, pada tahun 1984. Sejurus pulang dari Turin, Rahime membuat keputusan untuk menubuhkan bengkel seni cetak bersama-sama isterinya, Zarina Ariffin.

Bengkel seni cetak tersebut ditubuhkan pada 1985 di Anak Alam. Bersama-sama dua orang pelatih muda; Jailani Abu Hassan dan Rafiee Ghani, Rahime memulakan operasi bengkel tersebut dengan kondisi yang amat sederhana. Jailani dan Rafiee disediakan tempat tinggal oleh Rahime dan dibayar elaun bulanan sebanyak RM200 seorang. Kedua-dua orang pelatih ini mula melukis selepas waktu kerja.

Di bengkel ini banyak teknik seni cetak yang dipraktikkan dan diuji cuba seperti menggunakan kepingan plastik sebagai blok, penggunaan alat seperti dental bur dan sebagainya. Saya tidak ikut serta dalam bengkel ini kerana teknik cetakan saya tidak memerlukan mesin. Saya lebih senang dengan cetakan kayu. Walaupun bagaimanapun, setiap bulan Rahime membeli karya saya dengan harga RM500 untuk sara hidup.

Saya masih ingat kekecewaan Rahime apabila Jabatan Seni Cetak, ITM begitu berahsia dan menolak permohonannya untuk bersama-sama membantu menubuhkan bengkel seni cetak di Anak Alam. Namun, pesan orang tua-tua ternyata benar, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih” dan “orang yang berusaha tetap akan berjaya manakala orang yang malas tidak akan pergi ke mana”. Rahime akhirnya berjaya juga menubuhkan bengkel seni cetak di Anak Alam. Selain itu, Rahime juga telah membuka galeri di Hotel Hilton (sekarang Hotel Mutiara) di Jalan Sultan Ismail. Saya kerap ke sana berjalan kaki dari Hentian Bas Klang untuk mengambil ‘gaji’ dari beliau.

Dari Anak Alam, Rahime memindahkan galeri dan bengkelnya ke Bukit Bintang Plaza. Pada masa yang sama, sebuah galeri lagi dibuka di Merdeka Square. Premis di Bukit Bintang Plaza tidak bertahan lama, tetapi beliau sempat membuat pameran cetakan untuk Loh Foo Sang yang ketika itu baru pulang dari Paris. Disini, beliau dibantu oleh dua orang pelatih iaitu Saidi Abdullah dan Zulfakal Ali Ariffin. Seterusnya mereka berpindah ke Taman Permata, Ulu Kelang.

Di Taman Permata, studio seni cetak diperbesarkan dan pada masa yang sama Rahime sudah mempunyai sebuah lagi cawangan galeri di Pasar Seni. Di sana, beliau banyak memberi peluang kepada belia-belia yang keciciran sekolah tetapi mempunyai bakat melukis. Mereka seperti Azhar, Rajani, Halim dan Suhaimi. Mereka ini diberikan tempat tinggal, elaun bulanan serta komisen daripada jualan karya mereka.

Apabila kegiatan keusahawanan Rahime mula berkembang pesat, ramai pelukis kurang senang dengannya kerana rata-rata golongan pelukis berfikiran ideal dan kurang ilmu berniaga. Mereka menganggap kegiatan seni cetak Rahime bersifat komersial.

Namun, saya masih ingat kata-kata Rahime kepada Dr.Sulaiman Esa, “…mencari wang bukan satu kesalahan..”. Pendapat beliau itu ternyata benar apatah lagi jika wang itu digunakan untuk membantu golongan pelukis. Dari Taman Permata, beliau berpindah pula ke Taman Melawati, di sebuah rumah kedai tiga tingkat. Seperti di Taman Permata, premis ini lengkap dengan galeri, bengkel membuat bingkai dan bengkel seni cetak. Cuma kali ini, Rahime menginap di premis tersebut bersama keluarganya.

Menariknya Rahime ini, setiap kali pindah beliau akan cuba membuat sendiri perabot dan kelengkapan kedainya. Beliau selalu berkata kepada saya, “ Kan aku industrial designer…”. Saya cuma tersenyum.

Apabila ada perbezaan pendapat dan perbalahan, kami tidak pernah ambil hati. Pernah satu masa, Rahime mahu membakar semua koleksi lukisan saya di AP Galeri. Namun, kemarahan itu kami akhiri dengan minuman kopi sambil gelak ketawa.

Di Taman Melawati, kaedah seni cetak semakin berkembang. Sebahagian pelatih tidak lagi bekerja sepenuh masa dengan Rahime. Zaleha dan Rahim sudah mampu berkarya di studio sendiri. “Sekarang AP Studio sudah publish etching Bayu Utomo” kata Rahime kepada saya.

Sejak berpindah ke Melawati, beliau lebih gemar menggunakan nama AP studio. Saya dapat rasakan kebanggaannya. Memang Rahime bercita-cita untuk membuat publishing house seperti di Eropah, Jepun dan sebagainya. Namun, kesihatannya sering terganggu. Persahabatan 25 tahun bersama beliau mengajar saya bahawa manusia kreatif itu tidak akan sempurna jika dia gagal untuk ‘menguruskan’ diri sendiri.

Juhari Said
Dipetik dari katalog Pameran Koleksi Saya – Rahime Harun.
Balai Seni Lukis Negara, 2008