Juhari Said,pemenang hadiah utama seni cetak dalam Salon Malaysia 1991/92 bukanlah wajah baru dalam dunia seni lukis Malaysia.Dia mula aktif sejak 1982.Pendekatan-pendekatan Juhari dalam seni rupa dianggap telah lari daripada konteks seni cetak tradisional.Hakikatnya,pendekatan itu lebih condong kepada eksplorasi-eksplorasi kesenian dan bukanlah suatu pelarian.

Lulusan Seni Halus dari Kajian Seni Lukis dan Seni Reka,Institut Teknologi MARA Shah Alam (1983) ini bertekad untuk hidup sepenuhnya di atas hasil seninya sejak 1983.

Tahun 1982-83 boleh dianggap sebagai peringkat percubaan Juhari : 1984-85 penerusan peringkat pencarian subjek yang kukuh,1986-89 “Siri Taman” dan 1990-92 “Siri Baju Kurung”.Pada 1993,Juhari membuat pelbagai percubaan bahan dalam lukisan dibawah siri “Printmaker’s Drawing : Baju Kurung No.19”.

Sekitar tahun 1982-83 pelukis yang berasal dari Perak ini banyak membuat penerokaan dengan media,teknik serta subjek.Ketika itu,Juhari belum menemui kekukuhan bentuk dan isi.Kesannya,percaturan imej dan simbol sering berlaku.Simbol yang sama membawa pengertian-pengertian berbeza dan karya-karyanya lebih berbau surealisme.Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai erotik.”Death of the Princess” (1982) dan “Malaysia Still Life” (1981) adalah di antara contoh-contoh terbaik yang mewakili era itu.

Eksperimentasi serta eksplorasi terhadap media,teknik serta bahan memang amat perlu untuk seseorang seniman bagi mengungkapkan minda dan hasratnya.Tahun 1984-85 menyaksikan kesungguhan Juhari meneruskan pencarian subjek yang lebih kukuh.Imej kekacang yang menjadi simbol kehidupan dalam “Death of the Princess” dipelbagaikan menerusi pengolahan-pengolahan lanskap seperti “Senja di Puncak Bukit” (1985) dan “Landscape of Silence” (1985).

Pada peringkat ini,kecenderungan Juhari terhadap unsur-unsur lanskap mujarad yang menyenangkan lagi menyegarkan mula dikesan,berbanding dengan lanskap-lanskap simbol surealistik yang agak sepi lagi sunyi pada era percubaan.Karya-karyaJuhari juga terbentuk menerusi gabungan garis-garis kukuh berlatarbelakangkan jalinan-jalinan kayu dan sekaligus memutikkan minat mendalamnya dalam seni cetak potongan kayu.Terdahulunya,Juhari lebih banyak menghasilkan cetakan gurisan asid.Pada peringkat kedua ini,Juhari menampilkan satu siri lakaran media yang baik dengan warna,jalinan dan garisan saling bertindan di antara satu sama lain.

Pada peringkat ketiga (1986-89) dalam kegiatan berseninya,Juhari memperlihatkan suatu perubahan yang begitu mendadak.”Siri Taman” muncul,dan Juhari meninggalkan terus simbol-simbol mahupun imej-imej figuratif yang nyata seperti keris juga kekacang.”Siri Taman” adalah sekumpulan lanskap mujarad yang dihasilkan oleh Juhari dalam era ini.

Bercakap tentang “Siri Taman”,Juhari menyebut bahawa jalinan-jalinan yang terdapat pada kayu-kayu telah menjadi pengganti berus pada dirinya dalam mencipta imajan-imajan dalam penerokaan ini.”Jalinan-jalinan ini jugalah yang membuatkan saya faham dan menghayati penerokaan ini,yang akan selalu saya kenangi sebagai sebuah taman yang indah”.

Juhari tidak menafikan bahawa kehidupan peribadi turut mempengaruhi hasil-hasil seninya.”Ketidaktentuan dalam hidup kadang-kadang mendorong kita untuk mencari ketenangan dalam kesenian”.Justeru itu,apa yang ditampilkan dalam “Siri Taman” adalah cerminan-cerminan harapan kepada ketenangan,kesenangan serta kesegaran,bagaikan taman-taman yang indah.

“Siri Taman” juga merupakan suatu titik-tolak bagaimana Juhari mula terpikat kepada pengucapan-pengucapan bahasa visual yang lebih lembut dan ramah,sebagaimana sewajarnya peribadi seseorang Melayu.Namun begitu,kelembutan bukanlah bererti kelemahan dan tidak sekali-kali bermaksud kemunduran.

Pada lingkungan dua tahun pertama dekad 1990an,Juhari lebih tertumpu kepada tema-tema serta subjek-subjek tempatan dalam persekitaran dunia Melayu,termasuk alam flora dan peradaban.”Tidak berguna bercakap tentang sesuatu konsep yang tinggi,jika elemen-elemen kecil persekitaran kita tidak mampu ditonjolkan.Sebagai seorang pelukis,kita perlu memikirkan apa sumbangan kita kepada masyarakat.Sebagai seorang pelukis Islam,kita perlu memikirkan sesuatu yang sesuai untuk masyarakat tanpa melewati batasan-batasannya.”

Juhari menghasilkan “Siri Baju Kurung” yang lazimnya digabungkan dengan subjek “Secawan Kopi”.Kedua-duanya membentuk simbol-simbol sekunder budaya Melayu yang lumrah,mewakili adat dan keramahan juga pertuturan.Secara tersurat Juhari menampilkan imej-imej yang cukup meriah lagi segar untuk dihayati.Secara tersirat,beliau mempersoalkan kejujuran dan kesungguhan pemerhati yang sering bercakap tentang kebudayaan,kadang-kadang berisi dan ada kalanya cuma jadi perbualan kosong kedai kopi.

Pada tahun 1993,Juhari banyak membuat percubaan media dalam menghasilkan beberapa siri lukisan seperti “Printmaker’s Drawing ; Baju Kurung No.1-9″,”Spilled Coffee” dan “Hot Coffee”.Kesemuanya masih berkisar pada topik yang sama.Teknik-teknik renjisan dan kolaj yang ditampilkan berupaya memperkukuhkan struktur lukisan-lukisannya itu.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Juhari Said kini merupakan salah seorang ahli seni cetak negara yang cukup profilik,berjaya lagi bertenaga.Penglibatan konsistennya dalam pelbagai pameran tempatan dan antarabangsa mencerminkan kesungguhan dan kepercayaannya terhadap bidang berkenaan. Sehingga kini,dia memperagakan karya-karyanya di Jepun, Perancis, Korea, Thailand, Indonesia, Taiwan dan lain-lain. Penampilan bentuk dan ikonografi karya-karya beraromakan kemelayuan melukiskan rasa prihatinnya terhadap masyarakat persekitaran. Eksperimentasi serta eksplorasi-eksplorasi yang Juhari lakukan bukan sahaja memenuhi keinginan-keinginan diri,tetapi turut menjadi sebahagian daripada pengisian-pengisian matlamat kesenian dan kebudayaan.

Oleh MULIYADI MAHAMOOD
Dipetik dari Katalog Kilimanjaro in Nagasaki : Juhari Said
Art Salon, Kuala Lumpur, September 29 Oktober 1995