Hari itu saya telah mendapat panggilan daripada Sharifah Fatimah Zubir seorang karyawan yang telah saya kenali ketika saya seorang mahasiswa yang sedang menjalani latihan praktikal pada 1982 di Balai Seni Lukis Negara,Jalan Ampang,Kuala Lumpur. Ketika itu beliau bertugas sebagai seorang kurator disana.Pada 1992, sebagai koordinator beliau mengetuai projek Risalah Dari Malaysia ke Jordan dan seterusnya pada 1996 di Germering City, Jerman lalu ke bandar-bandar bekas Yugoslavia iaitu Sarajevo,Tuzla dan Dubrovnik. Semasa beliau menguruskan projek Risalah Dari Malaysia inilah saya mula ‘menuntut’ ilmu pegurusan dari beliau.

Projek Risalah Dari Malaysia berkembang lagi lalu terbang ke bumi Kelantan pada 2006.Kali ini projek tersebut dikenali sebagai Bengkel dan Pameran Muhibbah Senirupa Malaysia- Jordan.Bengkel ini diadakan di Universiti Teknologi Mara ,Kelantan dan pameran pula diadakan di Galeri Shah Alam. Selangor.Panggilan telefon Sharifah Fatimah hari itu bertujuan menjemput saya kebengkel di Kelantan untuk bersama –sama karyawan disana seperti Zakaria Awang, Romli Mahmud,Faizal Romli,Rashidi Mohd Salleh dan Azman Ismail. Dari Jordan pula adalah Sameer Tabaa dan Anees Maani

Saya sebenar seperti mendapat bateri baru,sumber tenaga untuk pulih apabila dijemput untuk bengkel di Kelantan. Ini adalah kerana setelah berkarya membuat cetakan kayu selama 23 tahun saya sedang menghadapi ‘mid-carrier crisis’, yang cukup mencabar iaitu diantara 2004 dan 2005, maka jemputan ini bagi saya cukup berharga. Tanpa berfikir panjang saya terus ke Kelantan untuk berkarya.Disinilah saya bertemu dengan Annes Maani,seorang karyawan yang meragukan isteri saya,kerana sangkaannya Anees yang akan tinggal dan bekerja bersama saya adalah seorang wanita,tetapi rupanya Anees bermisai dan berjanggut! Anees bersama saya sering ketawa apabila kami teringatkan cerita ini. Tetapi Anees sememangnya seorang yang mudah senyum dan ketawa. Segalanya menjadi senang bila bersamanya, apalagi bila dilanda masalah dia sentiasa berusaha untuk mengatasinya.

Ketika berada di Kelantan, Anees ibarat berada dalam sebuah syurga! Cuaca Malaysia menambat hatinya. Beliau kelahiran Jordan dan kehidupannya dikelilingi oleh padang pasir dan hutan batu! Panas, kering dan keras! Di Malaysia, panas dan lembab, dikelilingi kehijauan lembut hutan Khatulistiwa yang dingin dan tebal yang akan menyekat pemandangan bila berhadapannya. Di gurun pasir pandangan mata kita akan bersayupan tanpa batas, kecuali kalau kita berhadapan dengan gunung batu. Bagi saya, Anees ibarat berada dalam dunia yang cukup berbeza dari sudut cuaca dan geografinya. Namun dari permerhatian saya, secara peribadi Anees seorang yang begitu bijak memahami dan mengemudi faktor-faktor geografi sekitarnya untuk hidup dan berkarya.

Senyumannya menyenangkan tetapi punya landasan! Sememangnya setiap manusia itu lahir dengan sebuah bakat tetapi ia punya tanggungjawab yang besar untuk membina seadanya. Di Kelantan segalanya berjalan seperti yang dirancang, berkarya dan berterus berkaya. Teman-teman di sana sering membawa Anees melawat tempat-tempat seperti yang berjiwa budaya tempatan seperti Tunjang Bakawali di Kampung Raja, Besut, jeti Kuala Besut pantai Bukit Keluang, Kuil Buddha di Tumpat dan banyak lagi tempat riadah, sungai dan air terjun yang membuatnya lebih mengenali budaya, cuaca serta sensitiviti masyarakatnya. Di sana beliau diberikan sebuah basikal untuk ke sana ke mari dan beliau begitu menikmatinya.

Katanya pengalaman pertama di Malaysia selama dua bulan amat memberi kesan kepada peribadi dan kerjayanya, terutama budaya dan cuacanya yang amat menyentuh dan begitu mempengaruhi. Setelah beliau melawat kuil Buddha yang begitu terkenal dengan patung Slepping Buddha di Tumpat, dirinya merakam satu perasaan yang berbeza. Beliau mendapati bahawa di kuil tersebut ada sebuah patung yang sudah kudung dan patah dibahagian tangannya, tetapi ia tetap juga diabadikan dan dijadikan sembahan. Ini seolah satu manifestasi redha dan pasrah menyerah. Apatah lagi kuil Buddha tersebut terletak dalam sebuah negeri yang majoritinya beragama Islam. Secara peribadi beliau melihat masyarakat Islam di Malaysia amat berbeza dari tempat kelahirannya. Toleransi dan penerimaan terhadap kepercayaan agama yang berbeza itu terlalu berlainan dengan masyarakat di negaranya.

Menurut pemerhatiannya, cuaca begitu besar peranannya didaerah ini. Beliau datang dari sebuah negara yang mana peranan cuaca tidak banyak merubah bahan atau muka buminya. Apa lagi tumbuhan hanya meliputi satu peratus sahaja padang pasir yang terbentang luas. Kemungkinan untuk mendapat kayu sebagai bahan berkarya samalah seperti menunggu hujan turun! Tetapi daerah yang dilawatinya sekarang menawarkan ‘lautan bahan’ untuk berkarya yang sangat luas dan begitu dalam lagi misteri. Hutan hujan Khatulistiwa menawarkan seribu jenis bentuk-bentuk yang amat menarik hatinya. Begitu juga serangga dan unggasnya. Saya teringat kata-kata seorang teman lama saya yang berasal dari Finland bernama Aila Salmivaara. Katanya pelukis di Malaysia sering merakam begitu banyak elemen dalam karyanya kerana itu adalah refleksi persekitaraan mereka. Saya melihat sumber dalam hutan di Malaysia begitu kaya dan banyak sekali. Di Eropah minimalisme itu wujud kerana persekitaran tidak begitu. Lihat berapa jenis tumbuhan yang anda dapati dalam hutan di Eropah? Rumah percutian musim panas di sana tidak perlu dijaga seperti di Malaysia, katanya lagi. Bagi Anees di Jordan pun begitu, cuaca tidak banyak merubah dan merosak.Tetapi baginya faktor cuaca di Malaysia yang merubah dan merosak itu adalah salah satu sumber inspirasinya selain dari ribuan hidupan yang menjalar, merayap dan berterbangan yang tidak pernah terlintas dalam pengalaman di negaranya.

Ini sebuah cerita pengalaman awal tentang seorang karyawan yang ketika itu berusia 33 tahun ,mengembara dan berkarya di Malaysia . Pengembaraan bagi saya adalah kesenian , penilaian , halus, tangkas dan mahir. Kalau tidak , kita jadi seperti seorang pelancong yang menjamu halwa mata lalu bercerita di kedai kopi bersama-sama teman sambil ketawa bangga yang kita sudah ke sana kemari. Setelah datang berkunjungbeberapa hari ke studio saya Anees pulang ke Jordan .Beberapa hari kemudian saya menerima satu pesanan ringkas darinya.

It was a beautiful dream,Malaysia .all the people,you,thank you all for the upgrade.that was the result of what I learned in your country.I miss you all.I hope to keep in touch with you,anees@go2petra.com,And hope to see you in Jordan,I’m doing well here,sculpting stone with wood in mind!

PAda 2010, setelah saya tamat kontrak sebagai seorang felo di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hati saya tergerak untuk menelefon Anes di Jordan untuk bertanya khabar. Katanya dia mahu berhijrah ke Amerika, tetapi hati kecil saya merasakan sesuatu yang kurang selesa dalam dirinya bila beliau berbicara. Lantas saya berkata kepadanya, datang saja ke studio Akaldiulu untuk berkarya, penginapan ada dan makan apa saja apa yang saya makan!Beliau tiba dari Jordan dalam kesibukan saya, tetapi Anees begitu memahami keaadaan saya ketika itu.

Saya cuba memberikan sebaik yang mungkin untuk karyawan tamu saya ini dengan menyediakan mesin dan peralatan serta seorang pembantu yang berpengelaman dengan kerja kayu bernama Pak Jo. Anees memulakan lagi pengembaraan yang kedua di Malaysia. Juhari, d sini bagai di syurga! Itu kata kata kegembiraan hatinya. Saya cuma memerhati saja lalu tersenyum. Selama seminggu beliau menikmati persekitaran studio saya Akaldiulu sambil membantu Pak Jo untuk membesarkan bahagian luar studio saya. Kalau semasa di Eropah atau Jepun saya begitu gembira bila salji turun, Anees juga begitu apabila hujan turun, ditambah pula bila petir sambung menyambung, baginya ia seperti bunyi dari sebuah orkestra. Dia sering basah kuyup berhujan sendirian di luar dan ini mengingatkan saya bagaimana saya juga begitu bila menikmati salji turun ketika turun di luar negara.

Residensi kali ini berjalan selama tiga bulan di studio saya. Sepanjang masa Anees hanya berkarya sendirian. Ada kalanya dia keluar ke kota sehari dua dan pulang membawa permainan minda seperti Rubik Cube dan sebagainya untuk Pak Jo. Pak Jo hanya pandai berbahasa Indonesia dan mustahil mereka boleh berbual. Namun peribadi, perwatakan dan budi bahasa merupakan bahasa yang efektif dan universal! Mereka berdua cukup mesra dan gembira.

Residensi Anees kali ini tidak menjanjikan apa-apa, ia sama seperti yang saya lakukan banyak kali semasa di Jepun dan Eropah sepanjang tahun 90-an, Saya mengembara sambil berkarya dan ini begitu banyak menguji diri sebagai seorang karyawan. Saya tidak tahu adakah Anees begitu memahami matlamat tersebut dan apabila beliau ingin berangkat pulang ke Jordan,dia mininggalkan satu pesanan yang ‘besar’ untuk saya.Beliau berkata ,arca-arca yang dihasilkan tidak dapat dibawa pulang ke Jordan,saya akan tinggalkan di Akaldiulu.terpulang kepada anda sama ada mahu disimpan secara peribadi,dijual atau dibakar saja! Itu pesanan ‘besar’ dari Anees Maani dan beliau pun terus pulang ke Jordan.

Arca kayu pertama dihasilkan oleh Anees di Kelantan telah dihadiahkan kepada Balai Seni Lukis Negara selepas berpameran di Galeri Shah Alam. Selebihnya ia tersimpan bersama Sharifah Fatimah Zubir dan saya sendiri. Karya-Karya Anees yang ada bersama saya tersimpan dengan begitu baik di studio. Berapa bulan kemudian saya menerima emel daripada Anees Maani dari Jordan. Satu khabar yang cukup menggembirakan saya, beliau berjaya memiliki sebuah studio yang besar untuk berkarya di pinggir Bandar Amman! Rupanya bisikan hasrat Anees untuk mempunyai studio sendiri sudah menjadi sebuah kenyataan. Saya dan isteri cukup gembira mendengar berita tersebut. Sejak itu dia sering menghantar gambarnya sedang bekerja kepada kami.

Pada 2011, saya mendapat tawaran dari pihak Universiti Malaya sebagai artis residen selama dua setengah tahun. Di sini saya melihat bagaimana Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan saudara Aziz Rashid,Ketua MUzium Seni Asia berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan kesenian sebagai sesuatu yang penting di pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, sebuah universiti tertua di negara ini. Pihak universiti berjaya menubuhkan UMAG atau Unversiti of Malaya Art Gallery. Melihat kesungguhan ini saya mengambil keputusan untuk menghadiahkan lima arca kayu Anees Maani dari simpanan saya dan satu daripada Sharifah Fatimah Zubir dan saya memaklumkan perkara itu kepada Anees di Jordan.

Pada 2013 semasa saya berada di Fukuoka untuk kali yang ke 12 kerana menyertai pameran Kembara Jiwa, buat pertama kali saya bersua dengan karyawan Mamoru Abe yang merupakan salah seorang daripada dua karyawan jemputan selain Yoshisuke Funasaka. Momoru Abe tidak pernah datang ke daerah Asia Tenggara tetapi memang sejak dahulu lagi beliau berhasrat untuk datang berkarya di studio saya sebagai artis residen. Katanya dia akan datang pada awal September 2014 ke Malaysia dan saya mahu impiannya terlaksana. Tiba-tiba saya teringat Anees Maani. Ya! Ya! Ya! Anees Maani, saya ketawa seorang diri, dia berada jauh beribu batu tetapi dia amat dekat di hati saya. MAMORU ABE + ANEES MAANI + JUHARI SAID = EXCELLENCE! Anees memang selalu menyebut ‘excellence’, kerana sikapnya yang positif. Saya pula sebagai tuan rumah memang cukup berhati-hati dan amat teliti apabila menjemput artis residen datang bekerja di studio saya. Saya jadi begitu kerana didorong oleh pengalaman lalu. Kata orang tua, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali.

Pada September 2014 Anees Maani datang untuk kali kedua sebagai artis residen di studio saya, kali ini bukan berkarya bersama-sama saya sahaja tetapj dengan karyawan dari Jepun, Mamoru Abe yang juga seorang professor dari sebuah universiti di Fukuoka. Ini sebuah pengalaman baru bagi Anees, Profesor Mamoru Abe dan termasuklah saya.

Pameran solo Anees Maani kali ini adalah sebuah diari pengembarannya berkarya di Malaysia sejak 2006. Beliau lahir di kelilingi objek-objek kuno dan begitu purba, terutama peninggalan sejarah Nabatien di Petra. Namun bentuk-bentuk tersebut begitu terpelihara oleh cuaca setempat yang tidak banyak merubah dan masih wujud hingga ke hari ini. Bentuk-bentuk ini sudah sebati dan amat akrab dengan dirinya kerana penglibatanya yang secara tidak langsung dalam dokumentasi tapak bersejarah tersebut. Namun dalam pengembaraannya beliau tidak dapat lari dari pengaruh serta anasir luar yang menyelinap dalam sensitiviti dirinya.

Ini jelas menerusi arca kayu pertama yang dihasilkan di Kelantan pada 2006. Bentuk tirus menegak yang lazim di daerahnya itu sudah terpasak kayu penyendal di bahagian bawahnya. Kayu penyendal dicipta untuk berfungsi, tetapi dalam arca ini ia hanyalah sebagai petunjuk elemen dalam budaya alat muzik Melayu. Ini adalah salah satu petanda yang menarik, bagaimana perjalanan dan pengembaraan boleh membantu mengembangkan kreativiti seseorang. Tetapi itu pun terpulang kepada hasrat dan cita-cita, kerana segala-galanya bermula dari kita sendiri.

Juhari Said

Akaldiulu, Oktober 2014

Dipetik dari katalog pameran solo Anees Maani, Kayu , 2014, Artelier Gallery, Publika,Kuala Lumpur.